Berita

Perhimpunan Agung UMNO Ditetapkan Pada 17-19 Disember 2020

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) melalui Mesyuarat Biro Politiknya menetapkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan berlangsung pada 17-19 Disember 2020.

Setiausaha Agung UMNO, Dato Seri Ahmad bin Maslan berkata, ketetapan tarikh PAU diputuskan oleh Biro Politik UMNO yang bermesyuarat malam tadi, di PWTC.

“Perasmian Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 17 Disember 2020 (khamis), dan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pada 18 Disember 2020 (jumaat),”

“Manakalah Perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada 18 Disember 2020 (jumaat) yang mana perasmian ini akan berlangsung pada waktu malam, dan Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Disember 2020 (Sabtu),” jelas beliau melalui kenyataan media selepas mesyuarat Biro Politik diadakan.

Menurut Ahmad Maslan lagi, Biro Politik juga telah menetapkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 6 November hingga 8 November 2020.

“Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri bahagian diadakan sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing,” katanya. – SuaraTV