Aktiviti & Komuniti

Salam Maulidur Rasul… Ayuh Bersama Tauladani Rasulullah SAW

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam khususnya warga Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama mentauladani Rasulullah SAW dengan mengaplikasi perjuangan serta keperibadian Baginda dalam kehidupan seharian.

“Hari ini kita berdepan dengan cabaran yang sangat getir khususnya dalam mendepani pandemik COVID-19 dan ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang menekan maka tentunya semangat perjuangan dan kesabaran dalam berdepan dugaan ini amat diperlukan.

“Lantaran itu, marilah kita sama-sama mengaplikasi semangat junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang sentiasa redha dalam menerima ujian malah menjadikan ujian sebagai penguat semangat untuk meningkatkan ibadah kepada Allah SWT,” katanya.

Ujar beliau, tentunya tahun ini suasana meraikan Maulidur Rasul juga sudah tidak sama dengan tahun –tahun yang lalu lantaran pandemik COVID-19 masih menular.

“Namun janganlah kita jadikan COVID-19 sebagai alasan untuk tidak meraikan Maulidur Rasul ini sebaliknya kita aplikasi keadaan sekarang dengan suasana baharu dan keperibadian Baginda Rasullah mestilah kita terus sama-sama suburkan agar tersemat jiwa yang teguh dan kuat dalam mendepani apa-apa juga halangan,” katanya.

Jelas beliau, kecintaan kita sebagai umat Islam terhadap Rasulullah mestilah diterjemah sama ada dengan penzahiran doa atau selawat serta menghayati sirah Baginda untuk diterapkan dalam diri.

“Marilah kita sama-sama berdoa serta berselawat ke atas Junjungan Besar kita dan semoga kita terus mendapat syafaat dari dunia hingga akhirat,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya