Rencana

Perkukuh Perpaduan Demi Masa Depan Negara

Kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia, walaupun ringkas masih segar dalam ingatan. Mesej dan slogan kedua-dua sambutan itu mempunyai pengertian mendalam.

Di sebalik detik itu, kita berhadapan gelombang politik, termasuk kehadiran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah secara mengejut akhir bulan lalu. Ia disusuli peningkatan ketara jangkitan COVID-19.

Jumlah kes harian mencecah empat digit mencemaskan rakyat, selain menambah ‘suhu’ ketidakstabilan politik.

Di sebalik suhu politik agak tinggi, diperhatikan semakin longgar dan lunturnya keperluan memperkukuhkan perpaduan nasional dan perpaduan rakyat. Apa dimaksudkan adalah perpaduan pemimpin politik yang seharusnya menjadi asas dalam proses, aktiviti dan perjuangan politik setiap parti.

Keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Isnin lalu untuk mendukung sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong – supaya dikendurkan segala ketegangan dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan negara dapat terus dipertahankan – amat wajar dan harus disambut baik

.

Hampir semua parti politik melahirkan pendirian masing-masing ke arah itu. UMNO juga menyarankan inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik bernaung dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti pembangkang.

Buat masa ini, dianggarkan sekitar 60 parti politik berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), tetapi yang bertanding tidaklah sampai jumlah itu.

Hakikatnya, semua parti mewakili kepentingan lebih 30 juta rakyat dan negara. Setiap parti juga mempunyai dasar dan ideologi perjuangan diturunkan menerusi Perlembagaan parti masing-masing, yang secara langsung seiring semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Kedua-dua Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan perlembagaan di peringkat negeri lazimnya menjadi asas kepada usaha menyemai dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Apa membimbangkan, wujud segelintir pemimpin politik yang dilihat gagal menterjemahkan keperluan mengutamakan elemen perpaduan dalam aktiviti politik masing-masing, terutama ketika berkempen mendapatkan sokongan pengundi.

Politik dan berpolitik itu penting. Perkara ini juga diperuntukkan dalam undang-undang, terutama Perlembagaan Persekutuan sebagai antara kebebasan dan hak setiap rakyat. Ia diterjemahkan menerusi sistem demokrasi, yang dinikmati rakyat sejak lebih enam dekad lalu.

Negara menyediakan platform pilihan raya setiap lima tahun untuk pengundi memilih wakil rakyat, yang sebahagiannya akan dilantik sebagai Menteri, EXCO, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Perdana Menteri.

Bukan hanya menunaikan tanggungjawab di Parlimen dan kawasan, tetapi lebih penting tidak sama sekali meruntuhkan perpaduan dibina sejak merdeka dan Malaysia dibentuk. Aspek ini harus diutamakan.

Sementara kita masih disegari erti sambutan ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia serta 50 tahun Rukun Negara, disarankan ahli politik berikrar peri pentingnya mengukuhkan asas perpaduan demi Malaysia tercinta.

Hanya keutamaan perpaduan boleh melahirkan kestabilan dan mengembalikan kegemilangan negara.

Kita pernah terkenal sebagai sebuah negara contoh dari segi perpaduan. Kita harus terus memelihara amalan baik ini.

Ahli politik mempunyai peranan penting. Jadikan keperluan ini antara senarai tindakan harian utama masing-masing. Setiap kata tutur dan tindakan perlu dijadikan asas kepada perpaduan yang lebih kukuh dan mantap.

Saranan Yang di-Pertuan Agong harus dijunjung. Ahli politik harus menjadi contoh kepada rakyat dan menunjukkan teladan baik, bukan sebaliknya.

Jadikanlah budaya dan kewajipan dalam setiap aktiviti berpolitik dengan mengelak kenyataan, tindakan dan tingkah laku yang boleh menggugat perpaduan.

Oleh: Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
*Penulis adalah Ahli Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara