Program #PemudaCegah Realitikan Keprihatinan Tanggungjawab Sosial UMNO

PUTRAJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana Program #PemudaCegah yang dijalankan hari ini bukan sahaja berlangsung dengan lancar malah dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam komuniti.

Katanya, program yang digerakkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya ini merupakan satu tanggungjawab sosial khususnya dalam memastikan Putrajaya bebas COVID-19.

“Pemuda UMNO Putrajaya terpanggil untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi bagi memastikan masyarakat dapat berada dalam kehidupan sejahtera tanpa rasa risau atau gelisah dengan keadaan persekitaran.

“Kami realitikan bahawa Pemuda UMNO Putrajaya sentiasa mendengar denyut nadi rakyat serta membantu masyarakat dalam pelbagai keadaan dan kali ini barisan Pemuda UMNO Putrajaya turun padang melaksanakan sendiri sanitasi di kawasan penempatan,” katanya.

Dalam gerak kerja hari ini yang dilaksana di blok Flat Putra Harmoni @ Flat Hijau, beliau turut disertai Naib Ketuanya, Mohd Zusheidy Zulkifli serta barisan anggota Pemuda UMNO tempatan yang melaksanakan tugasan secara berperingkat dan terancang.

Kata Dr Tengku Iqbal, kerjasama yang melibatkan semua pihak telah menyumbang kepada kejayaan khususnya dalam penyediaan segala persiapan termasuk peralatan untuk melaksanakan operasi tersebut.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya anggota Jabatan Bomba Putrajaya yang diketuai oleh Tuan Shaari, serta barisan Pemuda UMNO Putrajaya yang sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawab demi rakyat.

“Tidak lupa juga kepada semua penduduk di kawasan terbabit yang telah memberi kerjasama kepada pasukan operasi, dengan berada dalam rumah masing-masing,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut berpesan agar semua pihak terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita belum menang dan kita perlu saling menyokong untuk memutuskan rangkaian pandemik COVID-19 ini. Kita perlu sama-sama berganding bahu untuk pastikan kampung kita ini bebas dari segala gejala kerana yang penting adalah keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: