Coretan Warga Putrajaya… Mengenali Ku Nan ‘Ketua Kampung’ Prihatin

Hari ini Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagi orang politik yang tidak sealiran dengan ideologi Tengku Adnan yang lebih mesra dengan panggilan Ku Nan maka ia adalah satu berita yang mengembirakan. Begitu juga bagi mereka yang tidak mengenali sosok peribadi Ku Nan secara dekat maka tentunya berita tersebut tidak meninggalkan kesan.

Namun bagi saya, warga Putrajaya yang telah belasan tahun menjadi komuniti di sini, berita tentang dakwaan Ku Nan terbabit dalam rasuah melibatkan RM2 juta adalah sesuatu yang amat menghiris hati. Hati saya terluka kerana saya tahu, malah warga Putrajaya ini juga amat mengenali ketua kampung mereka yang amat dermawan dan tidak pernah berkira soal apa-apa sahaja.

Memang bagi warga marhaen dan rakyat biasa wang bernilai RM2 juta terlalu besar yang jumlahnya boleh dibelanjakan dengan pelbagai perkara untuk memenuhi keperluan hidup.

Namun demikian, tentunya ia bukanlah sesuatu yang ‘masuk akal’ bagi seorang hartawan yang memiliki kekayaan ratusan juta untuk menerima suapan yang hanya sekadar RM2 juta sedangkan beliau sendiri memiliki lebih dari itu. Memang dari awal, terfikir di benak bahawa ada sesuatu yang tidak kena terhadap tuduhan itu.

Ya, perbicaraan telah berlangsung dan keputusan telah dibacakan tetapi akal manusia tidak mungkin berhenti berfikir sebagaimana saya sendiri.

Sorot kembali, tentunya semua pihak sedar bahawa pertuduhan dikenakan kepada Ku Nan ketika Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang didukungnya menjadi pembangkang sedangkan kerajaan ketika itu ialah Pakatan Harapan (PH).

Ku Nan Bendahari Agung UMNO… kekal untuk ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ kepada UMNO/BN biarpun ada segelintir pihak yang ‘melompat’ dan beralih sokongan ke sebelah sana. Memang ada cakap-cakap yang mengatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa Ku Nan menyokongnya dan memberi kata dua. Bukan hanya Ku Nan khabarnya tetapi beberapa lagi pemimpin politik berdepan tekanan yang sama.

Ku Nan berprinsip… demi agama, bangsa dan negara terus teguh kepada UMNO/BN biarpun bergelar pembangkang maka terdakwalah beliau di mahkamah atas tuduhan menerima suapan.

Lihat sahaja, seorang demi seorang pemimpin BN diheret ke mahkamah atas pelbagai dakwaan yang bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim selain pelbagai tindakan seperti pembekuan akaun, aset dan sebagainya kepada UMNO/BN.

Perkara sebaliknya berlaku kepada pemimpin-pemimpin PH apabila satu demi satu kes mahkamah mereka digugurkan biarpun sedang dalam perbicaraan. Lihat saja bagaimana kes Lim Guan Eng yang membabitkan pendakwaan rasuah tetapi digugurkan begitu sahaja walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah. Itu belum lagi kes-kes lain yang melibatkan pemimpin PH misalnya, Siti Kassim, YB Thomas Su MP Kampar, R. Sivarasa MP Sungai Buloh dan N. Surendan mantan MP Padang Serai.

Apakah maknanya ini?

Sakitnya rasa hati… tapi tentunya Ku Nan dan keluarganya lebih lagi terasa. Namun beliau tetap meneruskan perbicaraan tetapi dalam masa yang sama tetap juga melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat kepada penduduk di Putrajaya.

Sewaktu pentadbiran PH, semua maklum bahawa banyak tekanan yang diberikan lagi-lagi kepada penjawat awam di Putrajaya. Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang ditukarkan ke bahagian lain, ada yang ditekan dan pelbagai cara yang semua alasan digunakan adalah lantikan politik atau tak sealiran dengan pentadbir yang baharu.

Kehidupan rakyat memang tertekan… dan yang jadi tempat mengadu warga Putrajaya adalah Pejabat Ahli Parlimen di Presint 15. Rakyat mohon macam-macam bantuan kepada Ku Nan… dari yang tak cukup barang dapur, tak ada duit nak beli susu, beras, garam gula, hutang tertunggak nak bayar kereta, cukai jalan hinggalah kepada kes kenderaan rosak tapi Ku Nan melayani semuanya dengan sebaik mungkin dan sedaya upaya cuba membantu.

Hal-hal keagamaan dan pendidikan memang jadi keutamaan Ku Nan. Semua-surau-surau di Putrajaya merasai bantuan dan sumbangan dari Ahli Parlimen ini. Bukan hanya untuk baik pulih atau mencantikkan surau tetapi juga alat kelengkapan audio hinggalah kepada periuk belanga bagi kelengkapan berkenduri-kendara juga disumbangkan. Belum lagi cerita soal kelas-kelas keagamaan dan bantuan pendidikan kepada anak-anak Putrajaya yang tentunya beliau amat mudah laksanakan.

Ya, memanglah tanggungjawab wakil rakyat membantu penduduknya tapi adakalanya bantuan yang diterjemah oleh Ku Nan melangkau kewajaran hanya kerana beliau inginkan semua warga Putrajaya selesa dan sejahtera.

Sambutan ulang tahun penduduk Putrajaya juga seringkali diadakan, dan jika tidak pun hadiah atau kad ucapan hari lahir akan sampai ke depan pintu penduduk. Belum lagi barangan keperluan yang meliputi pelbagai benda, dari barangan basah hinggalah barangan kering.

Sebagai warga Putrajaya tentunya telah merasa ayam, ikan, beras, biskut, milo, tepung, susu dan macam-macam lagi barangan hasil sumbangan Ku Nan bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat. Perkara ini bukan baru, bukan hanya sewaktu COVID-19 memberi kesan malah telah bertahun-tahun jadi amalan.

Lebih bermakna, Ku Nan mengembling usaha memastikan pengurusan jenazah penduduk Putrajaya tidak memberi beban kepada waris dan keluarganya. Ini dilaksana dengan menyediakan kemudahan bantuan termasuklah melibatkan khidmat van jenazah percuma kepada komuniti Putrajaya yang kematian ahli keluarga. Perkara ini sudah bertahun dilaksana yang telah memberi manfaat kepada ramai warga Putrajaya.

Sungguh, warga Putrajaya amat terkesan kerana Ku Nan adalah antara ‘orang kuat’ yang merialitikan impian rakyat, membantu dan mengambil maklum tentang keperitan, mendengar keluh kesah dan sentiasa berusaha menambah baik apa-apa kekurangan yang ada.

Mengenali Ku Nan… Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang tetap menjadi amalan beliau sebagai warganegara yang bertanggungjawab namun doa warga Putrajaya tetap mengiringi ketua kampung tersayang.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi rahmat kepada pemimpin yang sentiasa mendahulukan rakyat dan semoga Ku Nan serta keluarga tabah berdepan dugaan.

Alia Aminin
WARGA PUTRAJAYA

%d bloggers like this: