Aktiviti & KomunitiBerita

Salam Tahun Baru 2021, Laksanakan Mesyuarat UMNO Dalam Norma Baharu – Ketua Kampung

PUTRAJAYA – Bersempena keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memutuskan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri dijadual dilaksanakan pada 1 hingga 3 Jan, Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan kepada anggota parti.

Katanya yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’, pelaksanaan persidangan yang dibuat sempena tahun baru perlu diangkat sebagai iltizam bagi meningkatkan keazaman dalam meneruskan perjuangan UMNO.

Katanya, usia UMNO yang sudah melewati 74 tahun yang menjadi bukti bahawa perjuangan parti ini bukanlah sandiwara politik atau bahan retorik semata-mata, sebaliknya UMNO lahir luhur atas semangat nasionalisme berpaksikan kepada kebenaran, kejujuran dan sentiasa beristiqamah demi Islam, bangsa Melayu dan rakyat keseluruhan serta kedaulatan negara terpelihara.

“UMNO sentiasa diuji dan kita ahli-ahlinya juga tidak lepas dari melalui ujian. Kita melihat bagaimana natijahnya apabila UMNO hilang kuasa lantaran perpaduan Melayu yang rapuh, maka tampuk pentadbiran kerajaan beralih arah dan kita teruji sebagai pembangkang.

“Lebih dari itu, penzahiran kesetiaan anggotanya turut tercalar apabila ada yang mula luntur sokongan dan beralih arah. Keperitan meneruskan perjuangan amat terasa, dihimpit, ditekan, diperdaya malah ada segelintir yang diheret kemuka pengadilan atas tuduhan yang sengaja diada-adakan namun UMNO masih ada upaya.

“Rencana Ilahi melangkau akal kita apabila menjadi pembangkang tidak sampai sepenggal dan kerajaan Pakatan Harapan yang penuh kebatilan runtuh, maka kini UMNO menjadi sebahagian dari kerajaan, tetapi itu semua adalah permulaan untuk ‘peperangan’ kita yang lebih nyata menjelang Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap seluruh warga UMNO terutamanya di Putrajaya agar sentiasa siap siaga selain bekerja dengan gigih dan kuat untuk memenangi hati rakyat serta tidak gentar untuk menghadapi cabaran yang datang dari mana-mana parti politik sekalipun.

“UMNO harus meneruskan tekad demi perjuangan berterusan, sanggup bekerja sepenuh hati dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Ayuhlah, kita bersama teruskan langkah seiring, berganding bahu dan membulatkan tekad bagi mengembalikan maruah agama, bangsa dan negara.

“Selamat tahun baru 2021 dan selamat bersidang,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya