Tahun Baharu 2021: Angkat Politik Matang Demi Rakyat – Zahid
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak parti-parti politik dan kepimpinannya untuk bersama-sama memikirkan pendekatan terbaik dalam memacu ekonomi serta mencipta pekerjaan selain memeriahkan landskap perniagaan termasuklah mengurangkan kos sara hidup dan membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan.
Dalam perutusannya sempena kedatangan tahun 2021, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO sedar kerajaan hari ini tidak stabil, tidak seperti kerajaan yang sewaktu UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, namun inilah realiti baharu yang perlu negara hadapi.
“Sudah sampai masanya kita abaikan retorik politik, sejukkan keadaan kerana parti politik tidak seharusnya bermusuhan, tiada pemimpin yang harus menjadi seteru dan demi kemajuan kita perlu henti persengketaan sesama sendiri.
“Banyak bisnes gulung tikar. Ada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ‘hidup segan mati tak mahu’ dan terpaksa gulung tikar. Pemandu teksi dan e-Hailing turut terjejas. Pekerja kilang merana. Pemilik restoran dan perniagaan kecil turut terjerut,” katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online dan Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid seterusnya menambah kepimpinan sejati yang rakyat mahukan harus memberi fokus kepada keperluan rakyat dan negara.
“Waktu yang mencabar memerlukan kepimpinan yang berwibawa. Sebagai pemimpin UMNO dan BN, izinkan saya mengambil langkah pertama untuk menjemput parti-parti politik dan kepimpinannya untuk mengadakan perbincangan dan buktikan kepada rakyat tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli, kita semua mampu mengangkat politik matang dan meletakkan keutamaan kepada negara yang kian merasai impak sebuah pandemik.
“Dalam politik, tidak ada yang pasti. Politik adalah pendekatan yang dicipta untuk melindungi dan memenuhi keperluan rakyat dan dalam keadaan yang luar biasa, pendekatan dan persetujuan luar biasa juga perlu dicapai. Sebagai sebuah negara, kita gagal jika isu asas tidak diambil peduli oleh kerajaan. Pintu UMNO sentiasa terbuka untuk kerjasama demi kebaikan negara,” tegasnya.
Menerusi perutusannya itu juga, Ahmad Zahid turut berpandangan sebagai presiden parti, kebimbangan beliau hanyalah untuk rakyat dan pada masa yang sama ingin memastikan UMNO memenuhi kehendak Institusi Beraja, negara dan rakyat.
Katanya mengembalikan mandat kepada rakyat sememangnya sudah menjadi perjuangan UMNO dan jikalau rakyat sudah dibenarkan merentas negeri dan melancong, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum.
“Pertukaran kerajaan bukanlah sesuatu yang sihat dan ianya juga bukan kehendak rakyat, lebih-lebih lagi ramai yang terkesan akibat cengkaman pandemik, bersusah payah untuk mengisi perut yang lapar serta menghadapi cabaran-cabaran mencari rezeki halal untuk keluarga.”
Ujarnya, masing-masing diuji dengan kepayahan membayar perkhidmatan asas, bakal dihumban kejalanan kerana tidak mampu membayar sewa, hilang punca pendapatan kerana perniagaan merudum dan benarlah jika dikatakan sebahagiannya sedang merana.
“Benar pelbagai bantuan telah dan akan disediakan namun syarat-syarat yang dikenakan bukan sahaja menyusahkan rakyat malah menjadi titik penghalang kepada bantuan yang sepatutnya menjadi hak milik mereka yang terkesan. Sudah tiba masanya kita berhenti mendengar, hanya suara mereka yang diatas, tetapi turun ke padang dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
“Satu lagi isu ialah, pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memerlukan kewajaran dan kewarasan. Begitu juga penolakan terhadap lanjutan moratorium pinjaman kewangan yang sama sekali mengenepikan suara rakyat. Adakalanya, mendengar keluhan dan rintihan rakyat adalah lebih penting daripada menyantuni orang kaya dan kumpulan yang berkepentingan.
“Mewakili UMNO, saya memohon maaf diatas kesusahan yang dihadapi. Kita haruslah meletakkan kepercayaan ke atas kuasa Tuhan semoga tabah menghadapi ujian ini. Saya sedar kerajaan hari ini tidak stabil, tidak seperti kerajaan yang kami punyai sewaktu UMNO dan BN, namun inilah realiti baru yang perlu negara hadapi,” tambahnya.
Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan rakyat negara ini.
Katanya seluruh dunia pada waktu ini mengharungi pandemik COVID-19 yang telah menyaksikan lebih 1.7 juta kematian dan mengubah kehidupan manusia sepenuhnya dan Malaysia sendiri menyaksikan bilangan pesakit COVID-19 melangkaui jumlah 100,000 dengan catatan kematian melebihi 450 mangsa.
“Saya pasti ramai dikalangan kita yang masih lagi berkabung diatas kehilangan mereka yang anda kasihi. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terkesan dan berdoa ke hadrat Illahi agar ahli keluarga yang masih mendapatkan rawatan di hospital disatukan semula dengan keluarga masing-masing.
“UMNO dan saya juga mengucapkan selamat tahun baru. Ingatan tulus ikhlas kami bersama rakyat Malaysia yang saban hari mengharungi cabaran terbesar dalam hidup mereka. Selamat Menyambut Tahun Baru 2021,” tambahnya lagi. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.