Aktiviti & Komuniti

Tahniah Pemuda UMNO Putrajaya, Realitikan E-Sukan Selari Minat Anak Muda

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya yang telah berjaya merealisasikan Putrajaya E-Sport Festival yang berakhir semalam.

Katanya, program ini ternyata amat sesuai dengan anak-anak muda sekarang.

“Tahniah Pemuda Putrajaya dapat laksanakan e-sukan untuk anak-anak kita di Putrajaya yang selari dengan minat minat mereka hari ini. Lagi-lagi ia dilaksana menjelang tahun baharu semalam. Kekalkan patuhi SOP dan penjarakan sosial untuk pastikan Putrajaya selamat,” katanya.

Putrajaya E-Sports Festival iaitu pertandingan Mobile Legends Bang Bang & PUBG Mobile yang diadakan buat julung kali ini telah memberi peluang kepada peserta untuk memenangi sebahagian daripada wang jumlah terkumpul sebanyak RM5,000 dan dinobatkan sebagai pasukan e-sukan terbaik Putrajaya.

Bagi pertandingan PUBG Mobile Putrajaya yang peringkat akhir diadakan pada Ahad lalu telah melibatkan 16 pasukan daripada 128 pasukan yang menyertainya di peringkat awal dan telah dimenangi oleh kumpulan Tasbih Putrajaya, sementara bagi Mobile Legends Putrajaya, 4 pasukan yang layak daripada 64 pasukan akan berperang.

Putrajaya Esports Festival 2020 yang dianjurkan bersama oleh Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya dan Kelab Belia Inovatif Putrajaya serta Koperasi Putrajaya Nasional (KOPNAS) dengan mengenakan syarat pertandingan iaitu harus diwakili oleh sekurang-kurangnya tiga warga Putrajaya di dalam setiap pasukan. – UMNOPutrajaya