Pemuda UMNO Putrajaya Dokong Prinsip Tengku Adnan
PEMUDA UMNO Putrajaya menyokong pendirian tegas Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendokong prinsip ‘bangsa, agama dan negara mesti dipertahankan’.
Ini kerana, kata Ketua Pemuda Umno Putrajaya, Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan, akar umbi juga sudah merasa nikmat pendirian tersebut yang diberikan menerusi kepemimpinan Islam dan Melayu.
“Sahabat-sahabat dari bahagian lain sudah menyatakan pendirian masing-masing, perbezaan pendapat itu perkara yang biasa dan harus diraikan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.
Mengulas tentang perbezaan pendapat, kata Iqbal, percanggahan itu bukan bermakna perpecahan, namun ia sewajarnya ‘diraikan’ supaya setiap isu berbangkit diselesaikan dengan lebih baik.
“Jika ada sahabat-sahabat yang merasa ketidakadilan atau wujud perasaan tidak berpuas hati, kita selesaikannya dengan cara perbincangan, rakyat mahu UMNO untuk menjadi pencetus persatuan ummah dan bukannya dalang perpecahan,” jelasnya.
Beliau turut berharap ahli UMNO memberi sepenuh kepercayaan kepada pemimpin tertinggi dalam menentukan halatuju parti.
Malah Iqbal juga menzahirkan keyakinan bahawa UMNO akan kembali gagah, apabila kesemua ahlinya mengembalikan kepercayaan dan rasa sayang rakyat pada parti keramat. – WILAYAHKU
You must be logged in to post a comment.