Pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Cermin Kelemahan
1. Pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sememangnya mencerminkan beberapa kelemahan dari segi pentadbiran dan proses membuat keputusan kerajaan Malaysia.
2. Pertama, kerajaan Malaysia nampaknya tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dimanfaatkan daripada kerjasama serantau dengan negara Singapura. Kerajaan Malaysia tidak dapat membuat keputusan yang tegas dan konsisten berhubung integrasi ekonomi rentas sempadan kedua-dua negara, malah memaparkan pendirian yang ‘flip flop’.
3. Malaysia kini hilang peluang keemasan untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua bandar metropolis yang merupakan antara enjin ekonomi utama Asia Tenggara.
4. Kedua, kerajaan Perikatan Nasional jelasnya memaparkan komitmen dan kesungguhan yang sentiasa berubah-ubah dan saling bercanggahan, sama seperti kerajaan Pakatan Harapan.
5. Buktinya, Perdana Menteri pada bulan Jun 2020 telah mengumumkan strategi Malaysia untuk meneruskan projek mega seperti projek HSR dalam usaha merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19. Pendirian ini terus diutarakan dalam Ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan. Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) baru-baru ini mengulas bahawa situasi ekonomi yang terkesan akibat Covid-19 memaksa model pelaksanaan projek HSR dikaji semula.
6. Akibat sikap tidak konsisten ini, projek HSR yang mendatangkan pelbagai manfaat ekonomi menjadi mangsa ketidakpastian.
7. Ketiga, kerajaan Perikatan Nasional kurang memahami analisis kos-faedah jangka masa panjang projek HSR.
8. Peningkatan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura akan menghasilkan manfaat berlimpahan dari segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, persekitaran perniagaan, daya tarikan pelaburan serta lonjakan pelancongan yang melangkaui kos bagi infrastruktur tersebut.
9. Selain pembangunan sosioekonomi di bandar sepanjang jajaran projek HSR, projek ini yang diilhamkan dalam Program Transformasi Ekonomi akan melonjakkan usaha merancakkan pertumbuhan Wilayah Selatan Negara, untuk transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.
10. Malah, analisis simulasi penyelidik Institute of Developing Economies dari Jepun mendedahkan bahawa kesan ekonomi HSR untuk Malaysia dalam gabungan dasar terbaik adalah USD 1.589 bilion (RM 6.38 bilion) setiap tahun menjelang tahun 2030, hampir 2.5 kali ganda kesan ekonomi terhadap Singapura.
11. Mengapakah projek ‘game changer’ yang sepatutnya memartabatkan ekonomi negara Malaysia dipolitikkan dan cuba diubah-ubah sehingga akhirnya dibatalkan? Adakah projek infrastruktur lain yang mendatangkan pelbagai limpahan faedah kepada rakyat Malaysia akan menanggung nasib yang serupa dalam tangan kerajaan Perikatan Nasional?
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
You must be logged in to post a comment.