Aktiviti & Komuniti

Prihatin Pesakit COVID-19: ‘Ketua Kampung’ Pastikan Keperluan Asas Mencukupi

PUTRAJAYA – Kes penularan pesakit COVID-19 di negara ini berlaku saban hari yang turut membabitkan komuniti di Putrajaya dengan semalam sahaja, pertambahan seramai 10 orang berlaku.

Berikutan langkah Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan pesakit yang disahkan positif COVID-19 melakukan kuarantin sendiri di rumah maka Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang lebih sinonim dengan panggilan ‘ketua kampung’ telah mengambil langkah segera dalam memberikan sokongan kepada mereka yang terlibat.

Sehubungan itu, barangan keperluan asas berupa makanan yang antaranya ialah beras, minyak, gula, tepung, roti dan sardin telah di hantar ke rumah mereka dengan meletakkan barang-barang terbabit di luar pintu rumah para pesakit COVID-19.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan menekankan pentingnya sokongan komuniti kepada mereka yang telah disahkan positif COVID-19 agar dapat bersama-sama mengharungi keadaan getir sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin.

Beliau juga turut berpesan kepada orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan COVID-19 dapat diputuskan seperti mana yang disarankan kerajaan dan mengajak semua sama-sama mendoakan agar para pesakit COVID-19 sembuh seperti sediakala dan Putrajaya kembali kepada sifar COVID-19.

Dilaporkan, semalam sejumlah 2,433 kes harian baharu COVID-19 dengan sembilan kematian dan lima kluster baharu. – UMNOPutrajaya