Aktiviti & Komuniti

‘Ketua Kampung’ Zahir Keprihatinan, Teruskan Agihan Barangan Untuk Pesakit COVID-19

PUTRAJAYA – Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya mengambil inisiatif menyediakan bahan keperluan barangan asas harian untuk diagihkan kepada pesakit COVID-19 yang dikuarantin di rumah.

Inisiatif ini adalah hasil idea Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan warga Putrajaya

Sumbangan tersebut dibuat sebagai tanda sokongan daripada ‘ketua kampung’ dan komuniti Putrajaya kepada mereka yang terlibat bahawa mereka ini tidak berseorangan dalam menghadapi kesulitan.

Antara barangan yang diagihkan ialah beras, telur, minyak, susu, gula, tepung, kentang dan beberapa lagi barangan yang diharap akan dapat membantu mereka untuk mengisi keperlukan dapur.

Barangan yang siap dibungkus akan diagihkan ke kediaman mereka yang telah dikenalpasti positif COVID-19 dan dikuaranti dirumah berikutan tidak mengalami masalah kesihatan yang teruk.

Bungkusan barangan terbabit akan diletakkan di hadapan pintu rumah tanpa penghantar perlu bertemu atau bersemuka dengan mereka bagi mengelakkan sebarang jangkitan berlaku.

Sama-samalah kita berdoa agar mereka yang dijangkiti COVID-19 akan segera sembuh dan kembali dalam komuniti keluarga besar masyarakat Putrajaya. Kekalkan kawalan kendiri, patuhi SOP dan teruskan usaha memutuskan rantaian COVID-19. – UMNOPutrajaya