Berita

Tindakan Tegas Akan Diambil Terhadap Individu Ingkar SOP PKP – IPD Putrajaya

PUTRAJAYA, 13 Jan – Polis Putrajaya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri bermula hari ini hingga 26 Jan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ASP Marlizan Pa’adek berkata tindakan tegas akan diambil pada PKP kali ini kerana situasi COVID-19 yang membimbangkan dengan kes harian yang tinggi.

“Dalam dua hari ini kita akan bagi nasihat dan teguran kepada masyarakat kerana mereka terlalu bebas selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 6 Disember lepas.

“Lepas itu, tindakan tegas perlu diambil kerana masyarakat harus pandang serius penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Sentosa menghala Lebuhraya Maju Expressway (MEX), di sini hari ini.

Marlizan berkata SJR akan dilaksanakan di empat lokasi di Putrajaya iaitu Lebuh Sentosa menghala Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala Dengkil, Persiaran Utara menghala Hospital Serdang dan Persiaran Utara menghala Puchong.

Selain itu, beliau berkata langkah kawalan tambahan turut diambil dengan menutup semua ‘laluan tikus’ yang menghubungkan Putrajaya dengan kawasan bersempadanan termasuk laluan ke Cyberjaya, Dengkil, Pinggiran Putra, Bangi dan Puchong, serta operasi pematuhan akan dijalankan di kedai makan, tapak penjaja, lokasi trak makanan dan pasar raya untuk memastikan masyarakat patuh SOP.

“Operasi kali ini membabitkan kekuatan 164 anggota terdiri daripada 22 pegawai dan 82 anggota serta 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berharap masyarakat perlu ada kesedaran diri untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19 dan terus mematuhi SOP kerana kes harian yang semakin meningkat adalah ancaman kepada negara dan komuniti.

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa 12.01 tengah malam tadi hingga 26 Jan. Negeri yang terbabit ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Ia susulan hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. – BERNAMA