Aktiviti & Komuniti

Sambutan Luar Jangka, Pemuda UMNO Putrajaya Usaha Bantu Kurangkan Beban Rakyat

PUTRAJAYA – Usaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya bagi menzahirkan keprihatinan dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dengan mengedarkan ayam beku percuma hari ini mendapat sambutan luar jangka dari komuniti setempat.

Biarpun pada awal pelaksanaan program, hujan turun dan membasahi sebahagian daripada anggota sukarelawan namun ternyata ia tidak mematahkan jentera Pemuda UMNO Putrajaya yang sedia berkhidmat apatah lagi apabila program ini mendapat sokongan dari masyarakat setempat.

Menerusi program yang dibuat secara pandu lalu dengan konsep ‘1st come 1st serve’ dan terhad hanya kepada 1,000 penerima terawal, warga tempatan mula berkumpul dan beratur di pekarangan laluan program iaitu di Rumah Perlindungan Kucing Presint 9 sejam sebelum program bermula.

Sememangnya kehadiran penduduk di luar daripada jangkaan namun anggota jentera Pemuda UMNO Putrajaya tidak patah semangat malah yakin bahawa usaha mereka untuk membantu rakyat memberi kesan yang amat mendalam.

Ketuanya, Dr Tengku Iqbal Munawwir berkata, Pemuda UMNO tempatan adalah pemudahcara antara Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sentiasa ingin membantu rakyat dalam pelbagai cara khususnya melibatkan barangan keperluan harian.

“Ayahanda Ketua Kampung kita sentiasa prihatin dengan kesan yang dialami oleh rakyat khususnya dalam berdepan dengan keadaan ekonomi yang merudum jatuh dan penularan COVID-19, ditambah lagi dengan PKP dan Darurat yang sedang berlangsung sekarang ini.

“Dengan sambutan luar biasa rakyat Putrajaya terhadap program ini, ternyata bahawa rakyat sememangnya mengharapkan bantuan yang tentunya Ayahanda Ketua Kampung kita amat memahami malah program sedemikian bukan kali pertama diadakan kerana telah menjadi kebiasaan,” katanya.

Berdasarkan kepada pelbagai program yang telah dilaksana termasuklah sambutan luar jangka hari ini, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya akan sentiasa menambah baik setiap program dengan keutamaan adalah untuk kebajikan rakyat.

“Setiap program yang kita laksana adalah mengangkat idea Ayahanda Tengku Adnan sendiri yang sentiasa cakna kepada keperluan rakyat dan mahukan kebajikan rakyat menjadi fokus utama, namun begitu kita tambah baik dan ambil iktibar atas setiap yang berlaku.

“Kita juga amat menitikberatkan keselamatan dengan semua sukarelawan mematuhi aspek keselamatan dan SOP yang ditetapkan selain telah memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa untuk pelaksanaan program ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Pemuda UMNO Putrajaya yang menjadi jentera hadapan dalam menyampaikan bantuan daripada ‘ketua kampung’ acapkali turun padang menyantuni komuniti setempat dengan menyampaikan sumbangan yang antaranya beras dan juga barangan asas keperluan dapur iaitu gula, kopi, teh, tepung dan beberapa barangan lain.

Semoga setiap usaha yang dilaksana akan dapat membantu meringankan beban rakyat dan memberi manfaat kepada komuniti Putrajaya. – UMNOPutrajaya