Lanjut Operasi Kedai Makan Dan Restoran – Mahdzir

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya melanjutkan waktu operasi restoran dan kedai makan yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga jam 10 malam.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kelonggaran waktu operasi sektor ekonomi itu akan memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak.

Kata beliau kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan itu kerana syarat penutupan operasi restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam telah menyukarkan banyak pihak.

“Saya berpandangan bahawa ada kewajaran untuk kerajaan mengkaji semula syarat itu yang sememangnya agak menyukarkan banyak pihak.

“Saya memahami bahawa ketika ini peningkatan kes-kes Covid-19 amat membimbangkan, tetapi saya yakin bahawa dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak, kita dapat mengelakkan restoran dan kedai makan menjadi kluster jangkitan Covid-19 kerana mereka hanya menjual secara tempahan dan dihantar oleh pekerja penghantaran”, kata beliau dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, penutupan restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam menyebabkan orang ramai terutama yang baru pulang dari bekerja, tidak sempat untuk membeli juadah makan malam.

Selain itu menurutnya pendapatan bagi pekerja penghantaran juga susut mendadak kerana kekurangan tempahan yang diterima daripada pelanggan yang tidak sempat membeli makanan selepas jam 8 malam.

“Ini juga berkait dengan ekonomi rakyat, pembekal bahan mentah makanan, peniaga, pemilik restoran dan kedai makan terjejas, pendapatan pekerja penghantaran terjejas kerana bagi saya waktu antara 8 malam hingga 10 malam itu adalah waktu perdana bagi orang ramai untuk mendapatkan makanan untuk makan malam,” kata Mahdzir.

Ujarnya lagi, kelonggaran tambahan had waktu operasi selama dua jam itu akan memberi impak yang besar kepada rantaian ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Berilah sedikit pertimbangan untuk membolehkan mereka membuka restoran dan kedai makan sehingga jam 10 malam.

“Saya dengar ramai sangat yang merungut dan mahukan kelonggaran diberikan. Ini soal kelangsungan hidup semua pihak dalam keadaan serba sukar sekarang ini,” kata beliau. – suara.tv

%d bloggers like this: