Oh Putrajaya… Perjuangan UMNO Diaplikasi ‘Ketua Kampung’ Meresap Ke Akar Umbi

SEJAK kebelakangan ini nama Putrajaya ‘panas’ dengan pelbagai perkara yang isu-isunya dijadikan sajian untuk media arus perdana. Rata-ratanya bahan berita yang diangkat menggambarkan ‘sudut gelap’ yang seakan sengaja diada-adakan.

Tentunya ini bukanlah sesuatu yang tidak terancang malah barangkali ‘ada udang di sebalik batu’ lantaran mungkin kerana UMNO yang menjadi pemimpin tempatannya…

… Atau mungkin juga ia diaplikasi sebagai bahan polemik bagi menutup kebobrokan segelintir pihak daripada bertanggungjawab atas pelbagai isu yang merencat negara ketika ini.

Sememangnya Putrajaya gah sebagai bandar termaju, terancang dan menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang secara tidak langsung akan mengangkat pemimpinnya selari dengan kelestarian dan kemodenan kawasannya.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bukanlah asing kepada komuniti tempatan kerana beliau yang menjadi ‘ketua kampung’ sejak awal kewujudan Putrajaya benar-benar merealitikan ‘kata dikota janji dilaksana’ yang menjadi aspirasi Barisan Nasional (BN).

Namun demikian, apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, nama Tengku Adnan dipalitkan dengan pendakwaan rasuah sebaris dengan beberapa pemimpin UMNO yang sememangnya teguh berpegang kepada prinsip’Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Ada khabar pendakwaan dibuat kerana Tengku Adnan enggan beralih sokongan…?

Benar, hal berkaitan pendakwaan terpilih telah menjadi kebiasaan dalam kerajaan PH apabila Tengku Adnan di bawa ke mahkamah sebagaimana mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa nama lain sedangkan ada yang ‘melompat’ telah terselamat dari pendakwaan undang-undang di bawah PH.

Perjalanan perbicaraan dan pelaksanaan undang-undang dilaksana tanpa ada mana-mana kepimpinan BN/UMNO campurtangan biarpun kemudiannya UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan dalam kepimpinan Perikatan Nasional. Tidak ada pun mana-mana pemimpin UMNO yanag didakwa digugurkan begitu saja apabila UMNO hadi sebahagian kerajaan biarpun hal tersebut berlaku dalam pentadbiran PH.

Lantas tanggal 21 Disember 2020 mencatat momen duka apabila Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman bersalah atas pertuduhan menerima rasuah kepada Tengku Adnan yang juga Bendahari Agung UMNO. Ini menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua menerima sabit hukuman selepas mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sungguh, jika atas alasan suapan bernilai RM2 juta dijadikan sebab maka ia sememangnya di luar pemikiran akal yang waras kerana mana mungkin hartawan yang memiliki aset beratus juta, malah menjadi dermawan dan begitu berintegriti kepada warga Putrajaya akan terlibat dalam hal sedemikian. Apatah lagi nilai suapan yang diterima pula tentulah tidak berbaloi bagi seorang jutawan seperti beliau.

Namun begitu, mahkamah telah memutuskan, dan walaupun rayuan telah dikemukakan, imej Tengku Adnan telah tercalar di atas kertas dan dalam buku perundangan namun bagi ahli-ahli UMNO khususnya warga Putrajaya, ia menjadi asbab untuk terus memperkukuh parti agar kebatilan dapat ditolak dan kebenaran diangkat. Ini kerana sikap sebenar Tengku Adnan telah lama dikenali lantaran warga Putrajaya adalah keluarga besar kepada beliau sendiri.

Biarpun begitu sekali perjalanan politik Tengku Adnan namun semangat dan kebertanggungjawaban ‘ketua kampung’ itu terhadap rakyat tidak pernah luntur sebaliknya khidmat dan pelbagai bantuan terus diberi khususnya dalam keadaan rakyat terkesan dan terhimpit lantaran ekonomi negara merudum dan penularan COVID-19.

Walaupun realitinya bukan ‘ketua kampung’ sendiri yang turun padang tetapi bantuan dan sumbangan beliau melangkau pelbagai peringkat usia dan merangkumi serata Putrajaya dengan anggota jentera akar umbi yang didokong oleh Wanita UMNO menerusi Biro Kebajikan Pusat Khidmat bergerak menyantuni rakyat. Bukan hanya yang uzur, sakit, kemalangan, kelahiran sehinggalah kepada kematian, Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya melengkapi bantuan dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

Ini ditambah lagi dengan semangat waja jentera Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya yang menjadi pemudahcara, menyampaikan pelbagai sumbangan berupa barangan keperluan asas, bergerak dari satu kawasan ke kawasan perumahan dan menyalurkan barang-barang kepada rakyat secara terus tanpa ada sebarang birokrasi.

Begitu juga dengan jentera Puteri UMNO yang aktif menyantuni golongan muda, menambahkan keahlian UMNO Putrajaya dengan menyuntik kesedaran dan penghayatan terhadap perjuangan parti selain menyalurkan sumbangan barangan persekolahan dan mengaktifkan kempen derma darah.

Sesungguhnya, semangat perjuangan yang diangkat oleh Tengku Adnan mengalir meresap sebati dalam diri anggota parti yang menggerakkan UMNO Putrajaya hingga ke akar umbi dalam kesinambungan khidmat ‘dari rakyat, kerana rakyat dan demi rakyat’. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: