Aktiviti & Komuniti

Sumbangan Tengku Adnan Lengkapkan Keperluan Surau Al-Qudus

PUTRAJAYA – Keselesaan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang meliputi pelbagai aspek khususnya dalam menyediakan kelengkapan di suaru-surau kawasan terbabit.

Kali ini, sumbangan mimbar dan kipas angin telah diberikan oleh Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya bagi melengkapkan kemudahan Surau Al-Qudus, PPAM Saderi di Presint 16.

Datuk Shokri Shafie selaku Setiausaha UMNO Bahagian Putrajaya telah mewakili Tengku Adnan menyampaikan mimbar dan kipas angin tersebut kepada Pengerusi Surau Al-Qudus, Tuan Haji Ismail dengan disaksikan oleh Ustaz Hasli dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Sehubungan itu, Tuan Haji Ismail menzahirkan ucapan penghargaan kepada ‘ketua kampung’ yang sentiasa prihatin terhadap kariah dan penduduk Putrajaya.

“Saya bagi pihak warga PPAM Saderi dan Jintan serta AJK Penaja Surau Al-Qudus, PPAM Saderi Jalan Presint 16, Putrajaya mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian menyumbang mimbar untuk solat Jumaat,” katanya.

Dilaporkan, Surau Al-Qudus telah melaksanakan solat Jumaat pertama pada 22 Januari lalu. Bagi memenuhi SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kariah yang berhasrat untuk solat Jumaat di surau ini perlu mendaftarkan diri dengan mengisi borang secara dalam talian dan panggilan akan dibuat mengikut giliran.

Semoga sumbangan yang diberikan akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada masyarakat serta memperteguh rasa cinta terhadap agama, bangsa dan negara. – UMNOPutrajaya