Berita

Syukur Tiada Lagi PKP, Agak-agak Bila Parlimen Kembali Bersidang? – Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur kerana tiada lagi negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rentas daerah kembali dibenarkan bermula 5 Mac 2021 kecuali di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap dengan kebenaran pergerakan ini akan membantu urusan seharian terutama memacu semula ekonomi rakyat.

“Semoga kelonggaran ini sedikit sebanyak membantu mana-mana yang terjejas disebabkan sekatan itu. Industri pelancongan misalnya,” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya, malam ini.

Soalnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, memandangkan tiada lagi negeri dikenakan PKP, agak-agaknya bila pula Parlimen boleh kembali bersidang?

“Yang di-Pertuan Agong telah bertitah. Tanggapan Proklamasi Darurat menghalang Parlimen bersidang tidak tepat.

“Pak Menteri sila ‘move on’. Jom kita bersidang demi kepentingan rakyat dan negara. Inikan negara demokrasi,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau memohon agar semua jangan terlalu ghairah dan alpa dengan kepentingan menjaga SOP.

“Program vaksin mengambil masa sebelum mencapai imuniti kelompok. Risiko masih tinggi untuk dijangkiti.”

Terdahulu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia yang siang malam menjaga sempadan daerah demi keselamatan.

“Tidak lupa juga kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang selama ini bermati-matian mengendalikan pesakit COVID-19 dan barisan guru Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengendalikan pelajar secara PdPR,” katanya lagi.

Dilaporkan, petang tadi Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara ketika ini dikekalkan manakala pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali di Sabah berkuat kuasa untuk tempoh dua minggu iaitu bermula 5 hingga 18 Mac ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata status PK) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula pada 5 Mac sehingga 18 Mac manakala status PKPB di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak pula dikekalkan dan status PKPB di Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – UMNO Online