Aktiviti & Komuniti

Selamat Hari Polis Ke-214 Kepada Warga PDRM, Khidmat Bakti Amat Dihargai

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Polis ke-214 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk veteran dan pesara polis di Putrajaya.

Katanya, beliau amat menghargai warga PDRM yang banyak menyumbang khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam terjamin.

Dalam masa yang sama, beliau juga amat berbangga dan terharu di atas pengorbanan seluruh PDRM yang tanpa mengira penat lelah setiap masa sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 sejak dari tahun lepas.

Bersempena meraikan anggota PDRM Putrajaya, sumbangan kek tanda ingatan telah disampaikan kepada OCPD Putrajaya Tuan Hj Mohd Fadzil Ali dan warga polis dengan disempurnakan oleh Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman.

Tengku Adnan juga mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT serta terus kental dan bersemangat berkhidmat demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara. – UMNOPutrajaya