Aktiviti & Komuniti

Rider Foodpanda Kemalangan, Tengku Adnan Prihatin Kesulitan Dihadapi

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor cakna dengan kesulitan yang dialami rakyat termasuklah penghantar makanan ‘foodpanda’ yang ditimpa kemalangan baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau melalui Biro Kebajikan Parlimen Putrajaya telah turun padang menziarahi Mohd Hafiz Mohd Tahir yang telah mengalami kemalangan ketika bekerja menghantar makanan ‘foodpanda’.

Pengerusi Biro terbabit, Puan Husna Abd Rahaman bersama anggotanya telah menyampaikan salam Tengku Adnan yang menghulurkan sumbangan dengan barangan keperluan harian sebagai usaha bagi membantu meringankan beban yang dihadapi.

Semoga dengan sokongan moral dan bantuan yang dilakukan, Mohd Hafiz dan juga mana-mana individu dalam komuniti Putrajaya terus tabah berdepan kesulitan. – UMNOPutrajaya