Aktiviti & Komuniti

Tengku Adnan Teruskan Tradisi Nur Ramadan Imarahkan Putrajaya

PUTRAJAYA – Menjelang Ramadan, Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meneruskan tradisi Nur Ramadan yang telah sebati dengan penduduk Putrajaya.

Dalam hal ini, Tengku Adnan telah melakukan persediaan dengan menyediakan wang tunai yang diagihkan kepada surau-surau berjumlah 65 buah di sini bagi menyediakan kelengkapan untuk kegunaan jemaah kelak.

Untuk persediaan bagi moreh, agihan barangan keperluan juga dibuat termasuklah bekas bancuhan air, kopi, teh, susu pekat, milo, kordial sirap dan biskut.

Beliau mengharapkan agar Ramadan ini akan memberi keberkatan kepada semua untuk meningkatkan ibadah kepada-Nya dan semoga Allah SWT permudahkan segala urusan semua dalam berdepan dengan dugaan.

Terdahulu, dilaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi ketetapan baharu solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan masjid dan surau termasuk pada bulan Ramadan di Wilayah Persekutuan.

Dalam ketetapan baharu itu, solat sunat terawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter selain dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah-surah pendek.

Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat terawih dan tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus daripada kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter serta qiamullail boleh dilaksanakan 30 minit sebelum waktu imsak. – UMNOPutrajaya