Rencana

Ramadan… Berbuka Bersama Tengku Adnan Terus Dirindu

PUTRAJAYA – Menjelang bulan Ramadan yang bakal menjengah, warga Putrajaya mula menyebut-nyebut nama Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Bukanlah sebelum ini tidak mengingati ketua kampung berjiwa rakyat tersebut namun Ramadan sememangnya amat sinonim dengan kebersamaan Tengku Adnan dan komunitinya.

Tahun-tahun semasa Barisan Nasional (BN) menjadi teraju kerajaan, saban hari Ramadan akan berlangsung acara berbuka puasa beramai-ramai secara percuma yang diadakan di tingkat atas medan selera Presint 8 atas nama Maidatul Rahman Putrajaya.

Waktu itu, datanglah sesiapa sahaja sama ada warga Putrajaya atau orang luar, berbangsa Melayu, Cina, India atau pelancong sekalipun… boleh sahaja bertandang dan bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa beramai-ramai di sini.

Lebih menarik apabila Tengku Adnan dan keluarganya sendiri yang melayani orang ramai, menyendukkan lauk-pauk ke pinggan dan bertanya khabar itu ini. Tidak pula beliau menghadkan pergerakan sebaliknya sangat santai dengan hanya berkain pelikat.

Juadah berbuka Tengku Adnan juga tidak berbeza dengan orang kebanyakan sebaliknya, apa yang dimakan oleh mereka yang datang maka menu itu jugalah yang dijamahnya sekeluarga. Itulah jalinan silaturrahim keluarga besar Putrajaya yang dipaksikan oleh Tengku Adnan sepanjang Ramadan.

Itu belum lagi dikira dengan juadah yang muncul di depan rumah kiriman dari Tengku Adnan malah pada mereka yang uzur pula pasti aka nada saja bantuan demi bantuan dihulur.

Namun demikian, apabila BN hilang kuasa… segalanya berubah. Ramadan 2019 tiada lagi Maidatul Rahman di Medan Selera sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana acara tahunan yang menekankan amal jariah, sedekah dan berbuka puasa beramai-ramai, Maidatul Rahman itu gagal mendapat kelulusan tempat sebagaimana kebiasaannya.

Jika sebelum ini program Maidatul Rahman Putrajaya berlangsung setiap hari dengan juadah disediakan untuk dinikmati bersama-sama tapi sejak BN menjadi pembangkang maka Ramadan 2019 tidak ada tempat ekoran permintaan yang tidak diluluskan.

Walau bagaimanapun, hal tersebut tidak pernah mematahkan semangat Tengku Adnan untuk meraikan komuniti Putrajaya justeru pendekatan yang lain dibuat. Pada Ramadan 2019, Maidatul Rahman dilaksana dengan sumbangan dibuat secara menghantar juadah berbuka puasa ke surau-surau secara bergilir setiap hari sepanjang 25 hari Ramadan melibatkan kesemua surau di sini.

Dalam masa yang sama Tengku Adnan terus juga memberi agihan hadiah Ramadan kepada penduduk yang memerlukan bagi memberikan kemudahan kepada yang tidak bernasib baik untuk membuat persediaan bagi menyambut bulan Ramadan.

Ramadan 2020, kelainan lebih terasa kerana COVID-19 melanda negara yang mengakibatkan segala keraian dan majlis berbuka puasa beramai-ramai dilarang dilaksana. Kedatangan Ramadan pada tahun lalu amat berbeza lantaran suasana rakyat yang berperang dengan pandemik COVID-19 dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah.

Menjelang Ramadan 2021, Tengku Adnan masih terus melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat malah bersedia mengimarahkan kedatangan Ramadan dengan melaksanakan pelbagai persediaan. Biarpun kekangan COVID-19 masih dilaksana tetapi ketetapan telah dibuat untuk solat fardu dan aktiviti pengimarahan masjid dan surau termasuk pada bulan Ramadan di Wilayah Persekutuan.

Lantaran itu, Tengku Adnan telah melakukan persediaan dengan menyediakan wang tunai yang diagihkan kepada surau-surau berjumlah 65 buah di sini bagi menyediakan kelengkapan untuk kegunaan jemaah kelak khususnya untuk persediaan bagi moreh, termasuklah bekas bancuhan air, kopi, teh, susu pekat, milo, kordial sirap dan biskut.

Biarpun suasana berbeza tetapi Nur Ramadan di Putrajaya tetap disemarakkan malah sumbangan serunding kepada komuniti Putrajaya yang dilaksana secara terus ke rumah-rumah penduduk juga dilaksana secara berperingkat.
Sememangnya, usaha tersebut bukanlah sesuatu yang baharu bagi warga Putrajaya kerana ianya telah menjadi amalan malah sebati dalam diri komuniti di sini dengan wakil rakyat Putrajaya amat menyantuni masyarakat sepanjang Ramadan.

Sememangnya, Tengku Adnan sentiasa akrab dan meraikan warga Putrajaya yang dianggapnya sebagai keluarga besar beliau.

Semoga Ramadan ini akan memberi keberkatan kepada semua untuk meningkatkan ibadah kepada-Nya dan semoga Allah SWT permudahkan segala urusan semua dalam berdepan dengan dugaan. – UMNOPutrajaya