Berita

Agong Zahir Kegusaran Peningkatan Kes Positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 30 April – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan berterusan kes positif jangkitan harian COVID-19 di negara ini, yang mencecah lebih 3,000 kes.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan mengenai laporan penutupan beberapa sekolah akibat penularan wabak itu serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa majlis keraian serta bazar Ramadan yang tidak memuaskan.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru agar rakyat supaya sentiasa berdisiplin dalam mematuhi arahan serta SOP yang ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami COVID-19 seperti yang dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.

“Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya tidak alpa dan mengambil sikap sambil lewa dengan arahan serta pematuhan SOP di bazar-bazar Ramadan, sekolah-sekolah dan majlis-majlis keraian umum seperti majlis berbuka puasa dan kenduri bagi memastikan penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara dapat dikawal dan dibendung dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, sebanyak 3,332 kes baharu postif COVID-19 direkodkan di negara ini.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli keluarga serta masyarakat kerana sekiranya berlaku gelombang keempat penularan wabak COVID-19, ia akan mengancam dan meruncingkan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat jelata.

Katanya, perkara yang turut membimbangkan Yang di-Pertuan Agong adalah laporan mengenai hospital swasta di Lembah Klang yang mengalami kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes COVID-19, sejak dua minggu lepas.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

Katanya, Al-Sultan Abdullah bertitah agar rakyat sewajarnya jujur pada diri sendiri dan masyarakat dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP bagi mengelak kemudaratan kepada masyarakat serta negara.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, kadar penularan jangkitan COVID-19 ini dapat dilandaikan demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak COVID-19 ini dapat diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil. – BERNAMA