Aktiviti & Komuniti

Ibu Tunggal, Asnaf, OKU Terbela Melalui Semekar Kasih Aidilfitri 2021 Wanita UMNO Putrajaya

PUTRAJAYA – Biarpun sambutan Aidilfitri tahun ini tidak semeriah tahun-tahun yang lalu lantaran pandemik COVID-19 yang masih menular, namun ia tidak mematahkan semangat Wanita UMNO Putrajaya untuk turun padang bagi membantu mereka yang memerlukan.

Melalui Program Semekar Kasih Aidilfitri 2021, Wanita UMNO Putrajaya yang diketuai oleh Puan Husna Abd Rahaman telah menyusur akar turun padang dengan menyantuni golongan ibu tunggal, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

Hal tersebut direalitikan sebagaimana sifat cakna Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang inginkan semua individu dalam komuniti Putrajaya mendapat perhatian khususnya mereka yang kurang bernasib baik.

Wanita UMNO Putrajaya adalah antara saluran yang aktif memastikan golongan terbabit mendapat bantuan selain sokongan moral dan perhatian dengan turut sama menyampaikan salam dari ‘ketua kampung’ yang tidak dapat bersua muka.

Diharap dengan bantuan dan sumbangan yang dihulurkan akan dapat meringankan beban yang ditanggung selain kebersamaan dalam satu keluarga besar Putrajaya untuk terus memerangi COVID-19. – UMNOPutrajaya