Berita

Zahid Dedah Ada Pihak Kaitkan UMNO Atas Kegagalan Kerajaan PN

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, ada usaha pihak tertentu cuba memalitkan parti UMNO dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO itu berkata, perkara itu wajar diperjelaskan sekali lagi supaya semua lebih terang dan faham.

“Benar terdapat beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO sedang menganggotai kerajaan PN.

“Namun, ia tidak pernah bermaksud yang parti UMNO terlibat dalam menentukan dasar-dasar negara.

“Segala ketetapan untuk negara sebaliknya dibuat sepenuhnya oleh kerajaan PN, termasuklah mengenai dasar berkait pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas tindakan segelintir pihak tertentu cuba mengaitkan kegagalan kerajaan melaksanakan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan peraturan yang dibuat sendiri oleh Menteri dari UMNO.

Antara menteri dari UMNO yang terlibat secara langsung dalam situasi Covid-19 ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adhman Baba; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ahmad Zahid berkata, penentuan dasar negara adalah menjadi hak mutlak kerajaan PN sejak Ordinan Darurat dilaksanakan, iaitu ketika institusi Parlimen digantung atas sebab yang masih dimusykilkan.

Justeru, tegas beliau, tidak patut ada pihak cuba ‘menjebak’ parti UMNO dengan kegagalan kerajaan PN menangani penularan Covid-19.

“Adalah tidak adil apa sahaja kegagalan kerajaan PN cuba dikaitkan dengan parti UMNO, gara-gara beberapa Ahli Parlimennya menerima tawaran menganggotai kerajaan PN.

“Bagaimanapun, itu tidaklah pula bermaksud parti UMNO tidak mempedulikan nasib rakyat dan banyak pandangan UMNO tujukan kepada kerajaan PN melalui platform bukan Parlimen sebelum ini.

“Malangnya, kebanyakan pandangan dan nasihat mengenai Covid-19 itu kurang diberi perhatian. Mengapa jadi begitu, saya fikir semua boleh mengandaikan sebabnya,” katanya.

Apapun, kata Ahmad Zahid, beliau berdoa yang baik-baik untuk rakyat dan negara dalam berdepan dengan ancaman Covid-19. – MalaysiaGazette