Berita

Bacaan Keputusan Hakim: Tengku Adnan Bebas Tuduhan Rasuah RM2 Juta

PUTRAJAYA 16 Julai – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bebas daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta hari ini setelah Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Hakim Datuk Suraya Othman, yang membacakan keputusan majoriti 2-1 itu berkata mahkamah mendapati cek RM2 juta yang diterima Tengku Adnan daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada UMNO.

“Kami bersetuju dengan peguam perayu (Tengku Adnan) bahawa pendakwaan terikat dengan keterangan saksi sendiri.

“Kami berpendapat bahawa keterangan Muhammad Saad Bordani, yang merupakan pegawai penyiasat, adalah penting kerana menunjukkan bahawa cek bernilai RM2 juta itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO untuk perbelanjaan pilihan raya kecil Sg Besar dan Kuala Kangsar pada 2016,” katanya.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy bersetuju dengan Hakim Suraya manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais, menentang.

Semasa membaca penghakiman itu, Hakim Suraya berkata mahkamah tidak menemui dalam mana-mana alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi bahawa beliau mempertimbangkan keterangan Chai yang merupakan saksi pendakwaan ke-19 dan saksi pendakwaan keenam, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) Datuk Mohd Hasbi Jaafar bahawa cek RM2 juta telah dibelanjakan untuk pilihan raya kecil.

“Satu lagi perkara atau isu penting, yang juga gagal dipertimbangkan oleh hakim perbicaraan adalah kegagalan pihak pendakwaan untuk memeriksa semula saksi utama pendakwaan, Tan Sri Chai, berhubung keterangannya bahawa RM2 juta itu merupakan sumbangan politik untuk UMNO.

“Kami mendapati kegagalan terhadap perkara atau isu penting ini sama dengan bukan arahan yang menjadikan keyakinan itu tidak selamat,” kata Hakim Suraya.

Pada 21 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan, yang dikenali sebagai Ku Nan, selepas mendapati beliau bersalah.

Tengku Adnan, 70, didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda.

Hakim Suraya berkata tidak dinafikan Chai merupakan saksi utama dan keseluruhan kes pendakwaan berdasarkan keterangan beliau, namun pendakwaan gagal menyoal balasnya dalam isu penting.

“Tiada cadangan dibuat oleh pihak pendakwaan bahawa Chai telah tidak jujur atau tidak bercakap benar. Tiada cubaan oleh pendakwaan untuk mencabar Chai ataupun menganggapnya sebagai seorang saksi belot.

“Dalam alasan penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi itu telah tidak mengarahkan pemikirannya terhadap kegagalan pihak pendakwaan untuk sekurang-kurangnya menyoal semula Chai mengenai keterangannya semasa pemeriksaan balas bahawa RM2juta itu merupakan sumbangan politik untuk UMNO,” katanya.

Hakim itu berkata mengenai resit rasmi RM2 juta itu, Chai menyatakan yang beliau menerima resit itu pada 16 Jun 2016 atau 17 Jun 2016.

“Daripada rekod rayuan, kami mendapati keterangan ini tidak bercanggah mahupun dinafikan dan oleh itu kekal tidak dicabar oleh pihak pendakwaan. Oleh sebab itu, hujah pendakwaan bahawa resit itu hanya dikeluarkan pada November 2018, selepas perayu ditangkap dan ia adalah dokumen palsu, kekal tidak dapat dibuktikan,” katanya.

Hakim Suraya berkata hakim perbicaraan juga telah membuat keputusan untuk tidak mengendahkan keterangan Chai berhubung resit itu dan mahkamah tidak terpengaruh dengan pertimbangan oleh hakim perbicaraan.

Beliau berkata berdasarkan kepada fakta ini, hakim sepatutnya membuat kesimpulan memihak kepada pembelaan.

“Kami berpandangan bahawa kegagalan hakim perbicaraan untuk mempertimbangkan perkara itu, keterangan yang tidak dicabar terutamanya Chai, menyebabkan kepada penyalaharahan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Mengenai buku resit, hakim itu berkata saksi pendakwaan ke-20, Nik Muhamad Faiez Idris yang merupakan pegawai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) dan Muhammad Saad telah memberikan keterangan bahawa terdapat dua resit yang hilang daripada buku resit.

Ini katanya, bertentangan dengan penemuan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati salinan resit UMNO itu merupakan hanyalah salinan duplikasi yang hilang daripada buku resit dan perkara ini telah perlu diberi perhatian.

Hakim Suraya berkata mahkamah mendapati hujah pendakwaan bahawa RM2 juta itu dibayar kepada perayu untuk dirinya sendiri kerana cek telah dikreditkan ke dalam akaun Tadmansori dan tiada bayaran daripada UMNO kepada Tadmansori, begitu juga keseluruhan pembelaan Tengku Adnan hanyalah satu rekaan, sebagai tidak dapat dipertahankan.

“Dalam penghakiman kami, dengan mengkredit cek RM2 juta ke dalam akaun Tadmansori tidak membawa kesimpulan yang tidak dapat disangkal bahawa perayu telah melakukan kesalahan yang didakwa dan ini tidak cukup untuk menyabitkan perayu kerana ini adalah bukti berdasarkan keadaan yang tidak menunjukkan kepada kesalahan perayu.

“Setelah diteliti sepenuhnya bukti pendakwaan, kami berpendapat hujah pembelaan mengenai tujuan wang itu digunakan bukan sekadar rekaan perayu. Ringkasnya, saya dan Hakim Ahmad Nasfy, berpendapat bahawa adalah jelas hakim perbicaraan tersalah arah dalam undang-undang dan bukti.

“Perayu sepatutnya dibebaskan dan dilepaskan oleh hakim perbicaraan. Oleh itu, kami perlu campur tangan dan dengan demikian membenarkan rayuan ini dan mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu oleh Mahkamah Tinggi.

“Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepas,” katanya.

Selepas prosiding, Tengku Adnan, yang diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, meninggalkan mahkamah tanpa menemui media.

Tengku Adnan yang berpakaian baju Melayu merah, ditemani keluarga dan penyokongnya dilihat membaca doa di luar kompleks mahkamah. – BERNAMA