Rencana

Keadilan Yang Terserlah… Tengku Adnan Inspirasi Perjuangan

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan pada 16 Julai telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Lebih bermakna apabila bacaan daripada hakim memaklumkan bahawa keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Zaini Mohd Mazlan pada 21 Dis 2020 tidak memiliki arah yang jelas dan tersalah arah.

Sungguh, berpeganglah kepada prinsip bahawa kebatilan akan terserlah dan kebenaran akan menang. Namun persoalannya berapa ramai pemimpin politik sanggup melalui onak dan duri yang telah ditempuh oleh Tengku Adnan untuk sampai kepada keputusan sedemikian?

Semuanya bermula apabila Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pelbagai kecelaruan berlaku seterusnya. Ketika itu bukan hanya ahli-ahli Parlimen yang ‘panas’ tetapi pemimpin dalam BN/UMNO juga demikian.

Entah… berpaksi pada apakah pendirian mereka yang sanggup beralih arah meninggalkan parti yang tewas dalam pilihan raya lantas memberikan sokongan kepada dalang yang kemudiannya hanya menjadi perosak kepada negara bangsa.

Jika diamati sejak dari kejatuhan kepimpinan BN hinggalah ke saat ini, sebenarnya boleh dikira dengan jari pemimpin yang betul-betul istiqamah demi parti keramat UMNO biarpun laluan hidupnya menjadi sukar, ditekan, dihimpit dan macam-macam kebobrokan dihamburkan.

Jadiklankah Tengku Adnan sebagai contoh, seorang pemimpin yang bukan ‘calang-calang’… tahu selok-belok politik, kenal pemimpin-pemimpin negara sama ada dalam parti sendiri atau mereka yang jadi seteru politik tapi tidak dimusuhi.

Bayangkan Tengku Adnan yang telah bergelar jutawan terjun ke dalam arena politik atas permintaan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan alasan demi membantu bangsanya, namun kemudian memilih mengabdikan keseluruhan hidup lantaran sedar bahawa bangsa Melayu mesti terus dibela.

Beliau pernah diangkat menjadi menteri, digugurkan dari kabinet juga pernah tapi tak pula memilih jalan negatif meninggal parti, jauh sekali untuk beliau merajuk sebaliknya menumpukan usaha kepada anak bangsa di kawasannya.

Benar… tak ramai yang mahu berdamping dengan Tengku Adnan ekoran beliau lebih dikenali sebagai seorang yang bengis, bercakap lantang tanpa tapisan dengan kata-kata ibarat belati menusuk hati yang pastinya tak ramai sanggup hadapi. Tapi… itulah sifat Tengku Adnan yang acapkali bukan seorang yang bermuka-muka, malah begitu juga pengabdiannya kepada UMNO iaitu demi agama, bangsa dan negara.

Lantas, ketika BN tiada kuasa, beliau terus kekal istiqamah sebagai sebahagian kepimpinan tertinggi dalam UMNO biarpun ramai yang memilih jalan songsang iaitu berpaling tadah meninggalkan parti sendiri dengan menyokong mereka yang pernah menjadi musuh.

Bukan kecil cabaran yang Tengku Adnan lalui… beliau dipelawa untuk menyertai kerajaan pimpinan PH, malah ditawarkan jawatan apa saja waima menteri asal saja meninggalkan UMNO. Wow… sungguh memang ramai juga pemimpin UMNO yang terpedaya, ada ahli-ahli Parlimen BN, ada ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, ada ketua-ketua bahagian malah mantan Ketua Puteri UMNO juga berpaling tadah sanggup meninggalkan UMNO tetapi bukan Tengku Adnan.

Apabila pelbagai ajakan ditolak dan Tengku Adnan memilih untuk kekal dalam ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dalam UMNO, tekanan lain pula dikenakan kepada beliau. Namun Tengku Adnan insan berprinsip demi ‘Lillahi Taala’, bukan jawatan, pangkat atau kedudukan jadi fokus hidupnya sebaliknya semuanya kerana Allah SWT.

Dengan kekayaan yang dimilikinya, beliau menjadi tangan berpaut ahli-ahlinya apabila akaun UMNO dibekukan, malah menjadi payung berteduh bagi anggota parti yang sangat bergantung kepada UMNO sebagai ikhtiar hidup, tetapi tak pula Tengku Adnan mendabik dada pada ahli yang ada sebaliknya meneruskan kelangsungan hidup dalam parti demi agama, bangsa dan negara.

Tekanan bertali arus… kemudian Tengku Adnan dipalit fitnah dengan tuduhan rasuah, didakwa di mahkamah lantaran enggan tunduk untuk menyokong pihak lawan dan meninggalkan UMNO. Kehidupan rakyat lebih lagi terhimpit di bawah kerajaan PH dan Tengku Adnan tetap juga bersama rakyat.

Tanggungjawab selaku wakil rakyat membantu penduduknya tidak pernah ditinggalkan biarpun Tengku Adnan sendiri turun naik mahkamah berdepan perbicaraan yang mempalit lumpur diwajahnya. Laporan media juga tidak pernah berpihak kepada beliau lantaran kuasa kerajaan sudah menjadi musuhnya. Cekal, tabah, tenang dan terus melangkah… itulah Tengku Adnan yang lebih dua tahun menjalani pengadilan dalam ruang yang amat berbeza.

Namun begitu, biarpun sepayah atau seburuk mana nama beliau cuba dirobekkan, bantuan yang diterjemah oleh Tengku Adnan khususnya warga Putrajaya tidak pernah putus malah adakalanya melangkau kewajaran kerana hasrat Tengku Adnan ialah warga Putrajaya mesti selesa dan sejahtera.

Huluran tangan, bantuan dan pemberian dari Tengku Adnan tidak pernah ternoktah malah semakin melimpah ruah penerimanya dengan pelbagai makanan keperluan asas dilengkapkan demi keselesaan warga Putrajaya.

Justeru, dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Tengku Adnan ternyata, kebenaran pasti akan terserlah dan pengadilan telah dibuat berpaksikan sabitan yang dilaksana.

Oleh itu, jadikanlah iktibar kerana apa-apa sahajakesulitan sama ada tuduhan dan pendakwaan bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan sebaliknya ia adalah permulaan satu laluan yang tentunya amat manis apabila mendapat kejayaan… asalkan yakin dengan janji Allah SWT, maka tentunya semua akan dapat dilalui.

Syabas Tengku Adnan… warga Putrajaya sentiasa bersama anda!

Editor UMNOPutrajaya