Rencana

Syukur Tetap ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’… Tun M Menggelikan Hati – Tengku Adnan

Alhamdulillah… dengan rasa kerdil dan rendah diri saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara serta bebas dari tuduhan rasuah. Kepada Allah SWT saya berserah dan saya amat menghargai sokongan orang ramai yang mengikuti kes saya.

Namun malangnya, masih ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini khususnya mantan Perdana Menteri Ke-4 & ke-7 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Dikatanya saya terlepas dari hukuman kerana bersekongkol dengan PM ke-8 hari ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Aduhai Tun… Sungguh menggelikan hati sebenarnya kerana Tun M sendiri sepatutnya amat kenal siapa saya. Bukankah Tun yang telah menjerumuskan saya dalam kancah politik… menarik saya untuk menceburi politik negara sedangkan saya ketika itu lebih selesa dalam bidang perniagaan. Alasan Tun adalah untuk saya berada dalam UMNO demi membantu perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara. Lillahi Taala saya letakkan diri saya untuk agama, bangsa dan tanah air sehinggalah hari ini biarpun Tun sendiri menongkah arus dan merosakkan semuanya… jati diri saya masih lagi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ demi ‘Alif Ba Ta’ – Agama, bangsa, tanah air.

Persoalan kenapa saya diheret ke mahkamah memang bukan lagi rahsia. Saya adalah antara mangsa pendakwaan terpilih apabila enggan mengikut arahan dari Tun. Bukan sekali pelawaan yang bertukar jadi pujukan dan kemudian arahan untuk saya meninggalkan UMNO serta menyertai ‘pengkhianat’ bangsa. Akhirnya ugutan sekiranya saya enggan tunduk bertukar menjadi realiti apabila saya didakwa di mahkamah atas alasan yang diada-adakan. Saya bukanlah lembu yang dicucuk hidung kerana jati diri dan maruah saya adalah tersemat untuk agama, bangsa dan tanah air yang telah saya ikrarkan.

Saya didakwa dengan tuduhan rasuah bernilai RM2 juta yang tentunya bagi orang yang mengenali saya, waima Tun sendiri tahu bahawa nilai wang itu terlalu kecil. Malah sewaktu saya dilantik sebagai Timbalan Menteri di JPM tahun 2000, saya telah mengsiytiharkan nilai aset saya berjumlah RM980 juta ketika itu sehingga Tun sendiri terkejut.

Memang, bukan nilai harta yang jadi perhatian, kerana nilai aset saya menyusut selepas penglibatan aktif saya dalam politik lantaran saya yang lebih gemar menggunakan wang sendiri daripada menjarah wang parti atau kerajaan. Itu bukan saya yang menggunakan jawatan untuk menambah harta sebagaimana yang Tun manfaatkan kuasa kepada barisan anak-anak Tun dengan limpahan jawatan dan kontrak pelbagai hinggakan mereka kaya raya.

Barangkali pandai mereka berniaga sehinggakan menjadi bilionair… tapi sebenarnya kerana Tun yang menjadi proksi sedangkan insan lain malah bangsa sendiri melarat untuk bangkit dari bawah yang kemudiannya Tun anggap Melayu pemalas dan hanya tahu mengharap ‘tongkat’.

Sepanjang Tun berkuasa kembali dan sehingga ke hari ini, Tun masih gelarkan saya pencuri, penyangak, penyamun hanya kerana saya enggan menjadi ‘budak suruhan’ Tun khususnya meninggalkan UMNO. Tun jaja dan burukkan nama saya. Saya dipalit fitnah, dihimpit dengan macam-macam kesusahan, ditekan dan dimalukan dengan pendakwaan rasuah. Tak apa… saya redha kerana yakin pada Allah… biarpun saya melalui ruang yang panjang… sesi perbicaraan, naik turun mahkamah sepanjang tiga tahun tetapi saya tidak akan alah.

Saya tahu… andainya saya memilih bersama parti Tun, jawatan menteri telah sedia ada untuk saya malah kes pendakwaan saya dimahkamah juga tentu akan digugurkan sekelip mata. Bukankah itu yang berlaku dalam pentadbiran Tun melalui kerajaan PH apabila membela pemimpin Dap pada 3 Sept 2018 dengan Mahkamah Tinggi umum melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri P. Pinang Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah sedangkan perbicaraan kes itu sedang berjalan dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.

Begitu sahaja kerajaan PH gugurkan kes Guan Eng yang kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan. Hal yang sama dalam kes mahkamah Rafizi Ramli, Tian Chua, Siti Kassim, YB Thomas Su MP Kampar, R. Sivarasa MP Sungai Buloh dan N. Surendan mantan MP Padang Serai.

‘The rule of law’ menjadi ‘law of the jungle’ dalam pentadbiran PH namun saya masih akur kerana yakin kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan tetap akan terserlah.

Sungguh, pada awalnya selepas keputusan dibacakan, ada terdetik untuk saya mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun, serta dua ahli Parlimen Dap yang terlibat di samping bekas AG Tommy Thomas dan Gopal Sri Ram selain sebuah NGO yang menggunakan nama persatuan penduduk kerana telah mempalit lumpur di muka saya dan keluarga… sebab mereka banyak usaha perniagaan saya terjejas yang bukan saja dalam negara malah diperingkat antarabangsa juga terkesan… tapi kemudian, demi Allah SWT, saya redha dan laluan yang tertulis dalam hidup ini saya ambil sebagai perjuangan untuk parti saya yang berjihad demi agama, bangsa dan tanah air.

Moga apa yang berlaku ini jadi inspirasi buat anak muda untuk akur dan berjuang dengan ikhlas. Sebagaimana saya terbaca tentang bekas menteri muda yang didakwa kerana pertuduhan pecah amanah. Inilah nilai yang ada apabila tersalah pilih, gemar menggunakan jalan pintas sedangkan bekas menteri muda ini terkenal hasil daripada pendidikan yang dilahirkan oleh kepimpinan UMNO/BN… waima diangkat menjadi ikon 1Malaysia oleh kerajaan BN tapi memilih untuk membangkang.

Hari ini, dalam keadaan kita masih berperang dengan musuh tak kelihatan yang saban hari ratusan kematian berlaku, marilah sorot kembali bagaimana keadaannya apabila kita gagal merancang, gagal mentadbir, gagal mengawal dan yang utama… gagal memilih kerajaan sehinggakan kerajaan BN yang kukuh diruntuhkan hanya kerana fitnah.

Beringatlah bahawa bahana fitnah mampu memusnahkan, merosakkan malah menjerumuskan kita dalam kehancuran… Moga Allah SWT lindungi kita dari wabak penyakit COVID-19 dan negara kita kembali aman sejahtera pada masa hadapan. Wallahuahlam.



 

 

 

 

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR