Berita

Terus Patuhi SOP, Jaga Kebersihan… Tolak COVID-19, Jauhi Denggi – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa komuniti Putrajaya untuk meningkatkan tahap kebersihan khususnya di kawasan kediaman masing-masing sebagai usaha untuk menjauhi penyakit khususnya denggi.

Katanya, dalam keadaan berdepan dengan pandemik COVID-19 yang masih menular, semua penduduk perlu terus mematuhi SOP namun dalam masa yang sama keutamaan kepada kebersihan adalah penting bagi mengelakkan denggi.

Ini kerana katanya, Putrajaya adalah antara kawasan yang mencatat angka tinggi akibat demam denggi yang tentunya boleh dielak dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Pematuhan SOP bukan alasan untuk kita tidak menjaga kawasan persekitaran kita. Kita mesti tingkatkan tahap kebersihan bagi mengelakkan wabak denggi yang tinggi di Putrajaya.

“Semua penduduk juga perlu terus kekal menjaga SOP agar wabak COVID-19 yang belum reda melanda negara ini dapat kita putuskan.

“Kita redha berdepan ujian COVID-19 tapi kita jangan putus asa untuk terus berusaha perangi wabak ini. Teruskanlah sama-sama berdoa agar COVID-19 diangkat Allah SWT dari muka bumi ini,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan perasmian ‘Kempen Beautiful Precint 12’yang julung kali dilaksanakan secara maya ekoran pematuhan SOP yang dilaksana untuk memutuskan COVID-19, hari ini. – UMNOPutrajaya