Aktiviti & Komuniti

Susah Senang Bersama, UMNO Putrajaya Santuni Bekas Pemimpin Akar Umbi

PUTRAJAYA – Berat mata memandang tapi berat lagi bahu yang memikul namun itu bukanlah alasan untuk UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan kebersamaan dalam perjuangan yang bukan hanya ketika gembira tetapi juga pada saat berdepan kesulitan.

Itulah diibaratkan dalam suasana yang berlangsung petang tadi apabila Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Saudara Ahmad Faisal Abdul Karim mewakili Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menziarahi bekas pemimpin akar umbi yang dilanda keuzuran.

Dalam kunjungan yang dibuat hari ini, Saudara Ahmad Faizal melawat bekas Ketua Pemuda Cawangan Tanjung, Saudara Azmil Fazni yang diduga dengan kanser hidung tahap tiga.

Selain mendengar sendiri penzahiran dalam mendepani dugaan, Saudara Ahmad Faizal menyampaikan salam ‘ketua kampung’ Datuk Seri Tengku Adnan yang amat prihatin terhadap komuniti Putrajaya khususnya mereka yang berdepan dengan kesakitan.

Turut dihulur ialah sumbangan dari Datuk Seri Tengku Adnan yang sememangnya dikenali penduduk setempat sebagai seorang yang sentiasa cakna dan berusaha memberikan bantuan bagi membantu meringankan beban.

Semoga Saudara Azmil sentiasa kuat dan tabah dalam berdepan ujian serta kembali sihat. – UMNOPutrajaya