Rencana

64 Tahun Merdeka, Lestarikan Semangat Nasionalisme Demi ‘Kerajaan Malaysia’

ULANG tahun ke-64 kemerdekaan negara masih terus diselubungi usaha memerangi pandemik COVID-19 yang masih menular. Saban hari angka kes baharu COVID-19 masih mencatat nilai yang tinggi menjadikan terkini jumlah kumulatif kes di negara ini menghampiri dua juta.

Sungguh, sejak tahun lalu iaitu apabila COVID-19 menular, kemeriahan dan keceriaan rakyat Malaysia dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan tidak lagi seperti sebelumnya iaitu sambutan secara besar-besaran dalam perarakan di Ibu Kota selain ambang kemerdekaan yang juga diangkat sebagai satu perayaan.

Namun demikian, COVID-19 bukanlah alasan untuk melunturkan semangat patriotik kerana aplikasi dalam menzahirkan kecintaan kepada negara boleh dilaksana dalam keadaan apa pun melalui kibaran ‘Jalur Gemilang’ di mana-mana sahaja.

Lebih dari itu, COVID-19 bukanlah satu alasan untuk menenggelamkan semangat nasionalisme sebaliknya ia wajar diangkat sebagai asbab kepada kebersamaan rakyat untuk mengharungai pelbagai krisis yang melanda sekarang ini.

Lebih dari itu, kebersamaan yang diharapkan adalah inspirasi dalam sebuah pentadbiran baharu Kerajaan Malaysia yang ditunjangi Naib Presiden 1 UMNO selaku Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan Malaysia hari ini didukung oleh ‘kabinet berorientasikan hasil’ berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Sebagaimana konsep bernegara itu sendiri, rakyat adalah keutamaan dan kerajaan baharu yang menekankan ‘Keluarga Malaysia’ perlu menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka. Ini termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

Hal tersebut juga adalah selari dengan hasrat UMNO yang turut mempunyai perjuangan panjang dan mempelopori semangat nasionalisme untuk merdeka sejak penubuhannya pada tahun 1946.

Kali ini, UMNO sebagaimana digariskan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas berlangsungnya mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu iaitu UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan.

Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain.

Dalam hal ini, mewujudkan satu ikatan perpaduan atas tujuan menyelesaikan permasalahan dalam negara untuk kepentingan bersama adalah langkah terbaik sebagaimana penekanan Perdana Menteri Perdana yang komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Demi mensyukuri kemerdekaan 64 tahun Malaysia, sebagai sebuah negara merdeka yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan iaitu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, maka konsep Raja Berperlembagaan ini mesti terus ditekankan.

Malah, konsep Rukun Negara mesti kembali disemarakkan dan diangkat sebagai manifestasi terbaik membentuk warga ‘Keluarga Malaysia’.

Mengambil inspirasi daripada tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ maka sewajarnya pelaksanaan ikrar Perdana Menteri semasa mengumumkan Kabinet baharu iaitu untuk menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan membuat perancangan jangka pendek dan panjang, serta mencapai sasaran yang ditetapkan, selain perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Untuk itu, ketidakmatangan berpolitik perlu diketepikan lantas jalan yang benar-benar mengikut perundangan dijadikan landasan dengan setiap keputusan dibuat setelah ditelusi tanpa mengambilkira kepentingan diri sendiri atau untuk tujuan tertentu.

Sesungguhnya, situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini, jika tidak dibendung dan ditangani maka tidak mustahil akan menimbulkan kepincangan yang juga akan mampu untuk membawa peristiwa kepada ‘kehancuran negara’ berlaku.

Lantaran itulah, kewajaran perlu diletakkan di tangga teratas dalam melaksanakan tanggungjawab yang bukan hanya tertumpu kepada kepentingan politik semata-mata sebaliknya juga aspek ekonomi dan sosial perlu turut dipertimbangkan; lantas mengutamakan rakyat dan negara dengan menerobos masa hadapan amat penting.

Perlu difahami bahawa matlamat mulihkan negara bukanlah boleh dilakukan dengan mudah oleh kerajaan atau mana-mana parti politik namun peluang akan tetap terbuka luas asalkan usaha atas kesepaduan dan sokongan semua pihak diperkukuh.

Justeru, biarpun kemerdekaan kali ke-64 ini disambut dalam suasana berbeza tetapi kesyukuran tetap dipanjatkan lantas konsep ‘Keluarga Malaysia’ tidak mustahil menjadi realiti dengan memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan yang diterajui kepimpinan UMNO disepakati.

Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-64 tahun!

Editor