Berita

Pelabur Lebih Yakin Bila Kerajaan Dipimpin BN/UMNO, Kata Ku Nan

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pertukaran kerajaan baharu yang dipimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno menunjukkan perkembangan positif dalam bacaan Bursa Malaysia berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, trend peningkatan itu berlaku apabila perdana menteri baharu dilantik dalam kalangan pemimpin BN/Umno berbanding dengan perdana menteri daripada parti lain.

“Petunjuk lain keyakinan ini adalah nilai mata wang kita iaitu ringgit juga mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

“Ternyata kepimpinan BN/Umno itu sendiri mempunyai nilai yang sangat besar dan memberi keyakinan kepada para pelabur untuk terlibat atau melabur dalam pasaran di Malaysia,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, selepas pelantikan perdana menteri daripada BN/Umno, pelabur mula yakin dengan keadaan pasaran negara kerana mereka yakin pentadbiran daripada kepimpinan BN/Umno akan memberi kestabilan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata propaganda, manipulasi dan persepsi yang ditaburkan kepada BN dan Umno sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah fitnah kerana BN dan Umno sentiasa mengutamakan kestabilan politik.

“Ini kerana politik yang stabil dengan rakyat hidup sejahtera adalah penyumbang besar kepada keyakinan pelabur untuk menanam modal dalam negara yang akan membantu melonjakkan kepesatan dalam pelbagai perkara.

“Jika semasa kerajaan PH, pemimpinnya lebih suka berhutang dari negara maju selain menjual aset-aset negara atas alasan kerajaan tak ada duit.

“Kejayaan terbesar PH secara keseluruhannya ialah meningkatkan hutang langsung negara sebanyak RM140 bilion dan angka itu tidak termasuk jaminan pinjaman kerajaan sebanyak RM46 bilion,” katanya.

Tengku Adnan berkata, dalam kerajaan pentadbiran Muhyiddin Yassin pula, Covid-19 adalah alasan paling kukuh yang digunakan sebagai perisai serangan kenapa gagalnya ekonomi dalam negara disifatkan sebagai cakap “pukul rata” semua industri ekonomi terjejas dalam situasi pandemik itu.

“Tak apalah… yang dah lepas jadikan tauladan. Buang yang keruh ambil yang jernih kerana rakyat perlu terus hidup. Hari ini kerajaan yang diterajui Ismail Sabri Yaakob adalah harapan untuk rakyat keseluruhannya,” katanya. – FMT