Berita

Junjung Kasih Titah Tuanku, Rakyat Terus Jadi Keutamaan – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen hari ini.

Beliau menzahirkan rasa syukur kerana istiadat tersebut berjalan lancar dan bertekad untuk rakyat terus menjadi keutamaan.

“Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

“Menjunjung kasih Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, insya-Allah rakyat akan terus menjadi keutamaan dan demokrasi negara tetap dipelihara,” katanya menerusi laman sosialnya hari ini selepas tamatnya sesi istiadat tersebut.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dan Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt, sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt. – UMNOPutrajaya