Aktiviti & Komuniti

Ketua Kampung Terbaik… Warga Putrajaya Berterima Kasih Sifat Prihatin Berterusan

PUTRAJAYA – Keprihatinan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menghulurkan sumbangan dan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada warga tempatan dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat mendepani pandemik COVID-19 amat dihargai.

Rata-rata para penerima menzahirkan penghargaan dan amat bersyukur lantaran dikurniakan wakil rakyat yang sentiasa bersama-sama masyarakat khususnya bagi mengharungi saat-saat sukar.

Bagi Faiz Annar, sumbangan dan keprihatinan yang dilaksanakan secara berterusan oleh Datuk Seri Tengku Adnan atau lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ adalah yang terbaik.

“Terbaik Bossku. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketua kampung Putrajaya yang senantiasa memberi perhatian dan bantuan buat penduduk kampung tersayang,” jatanya.

Demikian juga bagi Azman Mohd Ali yang mengucapkan terima kasih mewakili penerima sumbangan yang telah diberikan oleh pemimpin berjiwa rakyat ini.

“Mewakili bagi pihak penerima sumbangan… diucapkan jutaan terima kasih kepada ketua kampung kita atas sumbangan diberikan…terima kasih juga kepada Pemuda UMNO yang pantas mengedarkan sumbangan berkenaan. Semoga Allah memberkati dan merahmati ketua kampung kita,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada sumbangan yang dilaksanakan oleh Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya selaku pemudahcara dalam menyampaikan beras dan ikan kembong pada hujung minggu lalu.

Dalam hal ini, Rosnani Hashim turut memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dan mendoakan agar Datuk Seri Tengku Adnan sentiasa dimurahkan rezeki.

“Allhamdulilah… terbaik … semoga kita semua dalam rahmat Allah swt, diberi kesihatan yang baik agar dapat terus membantu golongan yang memerlukan. Semoga Datuk Seri Tengku Adnan dimurahkan rezeki yang luas.”

Hal yang sama diakui oleh Muhd Naszruddin yang mengakui bahawa sifat prihatin Datuk Seri Tengku Adnan kepada warga Putrajaya sepanjang masa.

“Alhamdulillah… Terbaik. Datuk Seri Tengku Adnan tetap prihatin kepada warga Putrajaya sepanjang masa.” – UMNOPutrajaya