Berita

RMK12 Bawa Keluarga Malaysia Ke Hadapan, Struktur Semula Ekonomi – PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang merangkumi separuh pertama pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bakal membawa Keluarga Malaysia ke hadapan dengan menstruktur semula ekonomi negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelan pembangunan 2021-2025 dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ bertujuan menangani isu semasa, memulih serta merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.

“RMK12 ialah agenda besar pemulihan negara dalam usaha kerajaan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat serta menjana semula dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Sungguhpun Malaysia berada dalam tempoh sukar pandemik COVID-19, kita, sebagai Keluarga Malaysia berpeluang menyusun semula ekonomi negara dan terus bersama mengorak langkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam prakata dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, hari ini.

Ismail Sabri berkata RMK12 adalah bukti komitmen kerajaan dalam meneraju dan menyusun langkah bagi mendepani apa jua situasi dan ia dirangka berdasarkan pendekatan dari bawah ke atas, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata dalam penyediaan RMK12, libat urus yang menyeluruh telah diadakan secara fizikal dan maya membabitkan kementerian, agensi, kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi antarabangsa dan orang awam.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang komited dalam mengemukakan input dan cadangan bagi memastikan pembangunan negara terus mampan, sekali gus melepasi kekalutan pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi yang kita hadapi,” katanya.

Ismail Sabri berkata selaras dengan tema RMK12, matlamat kerajaan menjelang 2025 antara lain adalah untuk mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran dengan meningkatkan kuasa beli rakyat, merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan kelestarian alam sekitar.

Selain itu, peranan sektor swasta akan dicergaskan semula sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut Perdana Menteri, terdapat pelbagai pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan dalam RMK12, namun semua pihak perlu mendakap erat prinsip kebersamaan, keluar daripada zon selesa dan mengorak langkah ke hadapan dengan yakin, berbekalkan hala tuju yang jelas.

Beliau berkata dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu, semua pihak perlu menjayakan pelaksanaan RMK12 dengan sentiasa melakukan penilaian berkala dan lebih fleksibel dalam bertindak balas, selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir dalam arus pembangunan.

Katanya pelaksanaan dan pencapaian objektif serta matlamat RMK12 bergantung kepada komitmen semua pihak, terutama anak muda, justeru beliau mengajak mereka untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan negara berlandaskan semangat Keluarga Malaysia.

RMK12 yang dibentang oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini adalah bertunjangkan tiga tema iaitu menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta melonjakkan kemampanan.

Pencapaian tema tersebut disokong empat pemangkin dasar iaitu membangunkan bakat masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi, menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam.

Dokumen itu mengandungi 13 bab antara lain menjana semula ekonomi; mengembalikan semula momentum pertumbuhan; melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana; meningkatkan pertahanan, keselamatan, kesejahteraan dan perpaduan;

Menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat inklusif; mempertingkat keseimbangan dan keterangkuman wilayah; memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak; mempercepat pertumbuhan hijau untuk kemampanan dan daya tahan;

Mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air; membangunkan bakat masa hadapan; melonjakkan pendigitalan dan teknologi termaju; memperkukuh kecekapan infrastruktur pengakutan dan logistik; dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam.

Keutamaan pembangunan negara dalam RMK12 akan terus dijajar kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (Agenda 2030).

Selaras dengan prinsip “tiada sesiapa yang tertinggal”, inisiatif merakyatkan SDG akan dipergiat, serta komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) akan diberi penekanan bagi mempertingkat pemahaman dan pelaksanaan SDG pada peringkat akar umbi. – BERNAMA