BeritaRencana

FAKE NEWS BECOMES REAL NEWS; REAL NEWS BECOMES FAKE NEWS

Ada berita mendakwa saya membuat keuntungan dalam penjualan tanah sewaktu menjawat sebagai menteri. Berita ditulis seakan saya menggunakan kedudukan saya dalam jawatan untuk mendapatkan pulangan peribadi berdasarkan laporan audit yang telah disalahtafsir oleh penulisnya.

Saya amat terkilan dan merasa kecewa kerana berita tersebut bersifat berat sebelah dan tidak bersandarkan kepada realiti sebenar. Sebagai menteri tentunya saya bertanggungjawab untuk meluluskan apa-apa keputusan dalam kementerian saya yang semuanya dibuat adalah bersandarkan kepada kepentingan awam, kepentingan rakyat dan kepentingan masyarakat umum. Jika keuntungan peribadi yang dicari maka nilai wang bukanlah matlamat saya… barangkali penulis tak kenal atau tak tahu latar belakang saya.

Sewajarnya mana-mana penulis sama ada wartawan atau pihak yang mahu membuat apa-apa laporan perlu memahami kandungan yang tercatit atau bukti yang nyata tanpa membuat penilaian berdasarkan kefahaman sendiri. Inilah yang dilakukan oleh segelintir petugas media yang gagal membaca dengan teliti laporan audit yang dikeluarkan sehinggakan mengeluarkan berita tidak benar.

Apabila laporan audit menyebut Menteri Wilayah Persekutuan yang mewakili Yayasan Wilayah bukan bermakna ia adalah milik saya atau agenda peribadi saya. Ini kerana Yayasan Wilayah adalah milik kerajaan dan bukan hak personal saya.

Lebih dari itu ada pula Ahli Parlimen yang termakan dengan laporan berita separuh masak dan tidak benar sedemikian malah mempercayainya tanpa melihat kenyataan asal. Terus sahaja saya dijadikan bahan politik murahan mereka dengan jajaan fitnah merata.

Ternyata, laporan fitnah, spekulasi dan manipulasi memang banyak berlegar dalam media massa. Ini adalah perkara yang sangat membimbangkan dan saya sendiri tidak akan alah lagi dengan fitnah-fitnah sedemikian. Cukup-cukuplah. Hal seperti ini tidak boleh dibiarkan dalam masyarakat kerana fitnah telah terbukti merosakkan negara.

Cuba kita lihat apa berlaku selepas PRU-14 dimana kerajaan BN telah ditumbangkan oleh pihak pembangkang yang menggunakan berita-berita tidak benar, macam-macam tuduhan dilontarkan kepada BN/UMNO sehinggakan akhirnya pengundi terpedaya. Lihat saja bagaimana selepas PRU 2018 apabila keadaan negara terumbang-ambing, ekonomi jatuh merudum dan pelabur ramai yang lari.

Dalam tempoh tiga tahun juga kita bertukar tiga orang perdana menteri yang kesannya sangat besar kepada negara apatah lagi diperingkat antarabangsa.

Sebagai wakil rakyat saya menggalas tanggungjawab agar hal yang tidak benar segera diperbetul malah saya amat berharap agar semua pemimpin termasuklah ahli Parlimen muda yang berhujah lantang menolak ‘ketuanan Melayu’ untuk memahami asas pembentukan negara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan. Janganlah hanya kerana usia muda dan diangkat sebagai wakil rakyat maka sudah arif segala-galanya. Memang anak muda kini ibarat lahir dalam ‘dulang emas’ yang semua telah tersedia tetapi apabila menjadi wakil rakyat maka janganlah sewenang-wenangnya bersuara dan membangkitkan isu-isu sensitif tanpa memahami bahawa kelahiran atau kewujudannya adalah antara kerana bangsa itu sendiri.

Pengamal media juga perlulah lebih berwibawa dengan memberikan laporan yang membina bangsa Malaysia dan bukannya sajian merosakkan perpaduan hanya kerana mahu melariskan bahan tulisannya. Tidak kiralah daripada universiti mana, sama ada dari dalam atau luar negara, waima dari Barat atau Taiwan sekalipun, untuk paparan bangsa apa-apa pun maka integriti penulisan perlulah bersandarkan kepada keupayaan mendukung Perlembagaan Persekutuan dan memahami prinsip Rukun Negara dengan menghayati kewujudannya.

Untuk rakyat keseluruhan juga, amatilah berita yang sekarang ini hanya berada di hujung jari kerana tidak semua yang terpapar itu sedia benar malah ada pula berita-berita yang benar terjadi sengaja disembunyikan lantaran kepentingan pihak tertentu. Lebih dari itu, berita yang benar dipalsukan dan berita yang palsu dibenar – fake news become real news and real news become fake news.

Sekarang saya sudah meminta peguam saya untuk meneliti beberapa kenyataan dan berita yang tidak benar berkaitan diri saya. Cukup-cukuplah saya berdiam diri kerana saya tak mahu perkara berkaitan fitnah dan berita tidak benar berleluasa.

Saya tahu, memang masih ada yang tidak berpuas hati dengan saya, bukan hanya orang perseorangan atau Ahli Parlimen tertentu malah ada juga pihak asing yang menggunakan NGO atau persatuan penduduk tertentu mengambil ruang dalam kegagalan BN membentuk kerajaan untuk terus memfitnah saya. Barangkali juga hal ini sengaja dibangkitkan lantaran nilai berita atau benar-benar mahu menjatuhkan nilai integriti yang saya pegang selama ini.

Apapun… saya tetap berpegang kebenaran yang akan menjadi nyata kerana Allah Maha Mengetahui. Wallahua’lam.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR