Bekas Pemimpin PPBM Akui UMNO Parti Berprinsip, Kekal Bawa Perjuangan Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Bekas Naib Ketua Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Putrajaya, Shamsul Mahde Mahmud berpandangan UMNO satu-satunya parti yang kekal berprinsip memperjuangkan nasib orang Melayu.

Katanya, situasi ini berbeza dengan PPBM apabila wadah perjuangannya semakin mengelirukan sejak membuka keahlian kepada warga bukan Bumiputera.

“Saya tengok PPBM tidak lagi menjurus kepada orang Melayu malah dicampur dengan keahlian warga yang bukan Bumiputera jadi saya nampak satu perjuangan yang bukan untuk memartabatkan orang Melayu.

“UMNO lebih fokus kepada perjuangan orang Melayu berbeza dengan PPBM ini bukanlah untuk memburukkan pihak yang sana… tetapi bagi saya fokus untuk memartabatkan orang Melayu itu adalah lagi penting,” katanya.

Beliau ditemui baru-baru ini selepas sesi penyerahan borang keahlian UMNO oleh bekas Ketua PPBM Bahagian Putrajaya Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini.

Sementara itu, Shamsul berkata sebelum bersama PPBM lagi beliau adalah penyokong UMNO malah pernah berhasrat untuk bersama dengan perjuangan parti keramat ini.

“Untuk makluman PPBM adalah parti pertama yang saya sertai dan memang saya tidak pernah masuk mana-mana parti politik yang lain.

“Sebelum ini memang saya mengikuti perjuangan UMNO tetapi tidak sebagai ahli cuma sebagai pemerhati sahaja.

“Saya rasa hanya UMNO sahaja yang betul-betul boleh dikatakan fokus perjuangan orang Melayu, martabatkan bangsa dan negara jadi sebab itulah saya pilih UMNO dan untuk lepas ini tidak akan ke mana kerana saya sudah melihat sendiri dan tahu serta yakin hanya UMNO yang benar-benar berjuang demi agama dan bangsa Melayu.

Terdahulu lebih 120 orang ahli PPBM Putrajaya termasuk setiausaha bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada menyertai UMNO setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: