Berita

PRN Melaka: Kerajaan Buat Keputusan Minggu Depan – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kerajaan belum membuat keputusan untuk menasihatkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah yang menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat di negeri Melaka bagi menangguh Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan difahamkan Sultan Nazrin Shah akan menerima taklimat daripada beberapa pihak sebelum menimbang perkara itu.

“… belum lagi, tadi kita ada mesyuarat kabinet, kita bincang mengenai situasi di Melaka dan kita belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Sebab kita difahamkan yang Pemangku Yang di-Pertuan Agong (Sultan Nazrin Shah) akan mendapatkan taklimat daripada AG (Peguam Negara) KKM (Kementerian Kesihatan), SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) jadi kita tunggu taklimat itu kepada pemangku Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi kita tunggulah selepas briefing kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis prapelancaran ‘Keluarga Malaysia’ di Angkasapuri di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai persoalanan sama ada kerajaan akan menasihatkan Sultan Nazrin Shah sekiranya darurat perlu diisytiharkan di Melaka bagi menangguhkan PRN negeri berkenaan.

Pada 4 Okt lepas DUN Melaka dibubarkan kerana kerajaan Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA