Berita

Propaganda Salahkan UMNO Dalam Politik Tidak Rasional

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa propaganda mahu menyalahkan parti UMNO disebalik apa yang berlaku dalam politk negeri Melaka tidak rasional kerana wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Bebas turut terlibat.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), secara tepat seramai empat ADUN daripada UMNO, PPBM dan Bebas terlibat dalam apa yang berlaku di Melaka.

“Secara harfiah (literally) apa yang terjadi disebabkan masalah dalaman di Melaka dan ia melibatkan wakil rakyat daripada beberapa parti yang diketahui,” katanya dalam kenyataan melalui laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Bagaimanapun katanya, seperti kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas berjumpa dengan ahli UMNO di Melaka, nasi sudah menjadi bubur, maka parti perlu bersiap siaga mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika itu ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kerana itu saya pernah menyatakan di Dewan Rakyat jika benar kerajaan Melaka sudah tumbang elok kita kembalikan mandat kepada rakyat.

“Tetapi saya tidak mengulas lebih ketika itu disebabkan masa untuk bercakap adalah terhad sedangkan banyak lagi hal rakyat perlu diketengahkan kepada dewan.

“Kemudian pada sidang media di bangunan Parlimen saya menjelaskan dengan lebih terperinci tentang pendirian saya.”

Katanya, walaupun langkah terbaik untuk menangani kemelut di Melaka dengan mengadakan PRN, namun masih perlu mengambil kira faktor lain.

“Maka sebaiknya ia diputuskan SPR selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan sehingga sebarang pilihan raya mungkin diumumkan oleh SPR, Ketua Menteri Melaka akan berfungsi dalam bentuk ‘care taker government’,” katanya lagi. – UMNO Online