Berita

MKT UMNO Bincang PRN Melaka, Jentera Diarah Buat Persiapan

Mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada 14 Oktober 2021 di Menara Dato’ Onn PWTC, Kuala Lumpur telah membincangkan antara lain mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

2. Adalah diarahkan agar jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi PRN ini dengan menuruti SOP yang akan ditetapkan oleh SPR.

3. MKT juga mengesahkan pengguguran keahlian UMNO terhadap Datuk Seri Utama Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang sebelum itu adalah ahli di Bahagian Tangga Batu, Melaka.

4. Mulai 15 Oktober 2021 hingga 30 November 2021 Persidangan UMNO Cawangan akan diadakan di 191 Bahagian. Adalah diharapkan agar mesyuarat Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri dapat berjalan lancar dengan mengikuti SOP MKN dan KKM.

5. MKT turut menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib; semakan semula berkenaan kes Pulau Batu Puteh dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Datuk Seri Haji Ahmad Maslan
Setiausaha Agung UMNO