Berita

Calon BN Selaras Dengan Kriteria WALI Menangkan Parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dan semoga mereka memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.

Ujar Presiden UMNO itu, beliau terpanggil untuk mengulas isu mereka yang digugurkan atau tidak terpilih kali ini.

“Parti sebulat suara memutuskan memilih 86 peratus muka baharu, 78 peratus daripadanya adalah yang berusia 50 tahun ke bawah manakala 82 peratus adalah berkelulusan akademik Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Ia adalah satu pendekatan baharu dan berani dalam memenuhi kriteria WALI (winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) and likeable (disenangi) yang kita utarakan.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online hari ini.

Ulas Ahmad Zahid lagi, kepada mereka ini parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baharu.

“Inilah kesetiaan yang kita perlukan daripada semua. Pastikanlah parti beroleh kejayaan dan kembali menerajui negeri ini.

“Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-Allah mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya yang kini berada di Jerman bagi menjalani rawatan ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

Jelasnya lagi, apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi kita selama ini.

“ADUN adalah milik rakyat di kawasan masing-masing. Parti sudah membuat penilaian terperinci sebelum mereka dipilih.

“Bersama kita menang di Melaka!,” serunya lagi.

Pagi tadi, Pengarah PRN Melaka yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan nama-nama calon BN bagi menghadapi pilihan raya negeri tersebut.

Pada PRN tersebut, BN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN dan tampil dengan tema Kestabilan Demi Kemakmuran. – UMNO ONLINE