Aktiviti & Komuniti

Semarakkan Perjuangan, Teruskan Mesyuarat UMNO Cawangan

PUTRAJAYA – Suasana politik tempatan termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sedang hangat sekarang ini tidak mematahkan perancangan akar umbi ahli-ahli UMNO Bahagian Putrajaya dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mesyuarat UMNO peringkat Cawangan.

Dalam hal ini, ahli-ahli UMNO di akar umbi terus bersemangat menyemarakkan perjuangan UMNO sebagaimana telah disematkan oleh Ketua UMNO Bahagiannya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tanggungjawab ini dibuat dengan telus secara muafakat berpaksikan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti meliputi keseluruhan keanggotaan parti termasuklah Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan Putrajaya.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada September lalu telah menetapkan bahawa tarikh persidangan cawangan diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November ini.

Manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian diadakan pada 11 Disember dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember 2021.

Begitu juga Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022. – UMNOPutrajaya