Rencana

Kronologi Berfakta: UMNO Tidak Mengkhianati Piagam Muafakat Nasional

Berikut diperincikan kronologi berfakta berpandukan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional bagi memperbetulkan dan melakukan koreksi terhadap tuduhan bahawa UMNO mengkhianati Piagam Muafakat Nasional:

▪️Setiap keputusan besar politik dibincangkan dalam Mesyuarat JK Induk Muafakat Nasional.

▪️Dalam Piagam Muafakat Nasional tidak disebut secara khusus bahawa MN dikhaskan hanya kepada parti-parti politik tertentu, namun haruslah selaras dengan aspirasi yang dibawa oleh kedua-dua parti teras yang membentuknya iaitu UMNO dan PAS.

▪️UMNO menyatakan pendirian tidak bersetuju untuk Perikatan Nasional didaftarkan sebagai parti politik apabila idea tersebut kali pertama dibentangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kepimpinan Biro Politik UMNO pada 1 Jun 2020 di kediaman beliau. Alasan UMNO, BN masih lagi relevan dan biarlah PN kekal sebagai satu kerjasama politik longgar 13 parti-parti yang membentuk kerajaan pada 1 Mac 2020.

▪️ UMNO membawa cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional pada 4 Jun 2020 dan menyatakan pendirian UMNO yang menolak cadangan tersebut. PAS bersetuju dan menyatakan pendirian yang sama dengan UMNO.

▪️ Pada bulan 1 Julai 2020, satu pertemuan 12 Presiden Parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional bertemu di kediaman Perdana Menteri.Dalam pertemuan tersebut YAB PM Tan Sri Muhyiddin sekali lagi mencadangkan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional sebagai sebuah parti. Ini tidak dipersetujui oleh semua parti-parti termasuk UMNO, MIC, MCA, PBRS, GPS (Sarawak), PBS, Gabungan Parti-Parti Sabah termasuk PAS.

▪️Pada mesyuarat Jawatankuasa Induk MN pada 17 Jun 2020, sekali lagi isu pendaftaran PN ditimbulkan. Pengerusi Bersama JK Induk MN merangkap Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian PAS masih kekal tidak bersetuju untuk menyertai Parti Perikatan Nasional sebagaimana UMNO dan menegaskan apa jua keputusan akan dibuat secara bersama.

▪️Dalam mesyuarat yang sama pada 17 Jun itu juga telah disepakati bahawa MN juga tidak perlu didaftarkan sebagaimana PN. MN harus kekal sebagai gagasan permuafakatan dan penyatuan ummah melangkaui parti. Semua parti adalah sama rata kedudukannya.

▪️Mesyuarat pada 8 Julai 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi menegaskan bahawa “Kalau UMNO tidak setuju pendaftaran PN dan BERSATU tidak setuju pendaftaran MN, pandangan PAS kita tidak perlu daftar kedua-dua”. Dalam minit mesyuarat juga Dr Asyraf Wajdi menyatakan pandangan balas terhadap cadangan Dr Zuhdi untuk mendaftarkan MN, “Saya cadang kita kekalkan MN sebagai satu gagasan atau etos dan konsep permuafakatan melangkaui parti. Untuk ia dijadikan parti perlu banyak masa itu. Lebih baik perkasakan dahulu MN”.

▪️Mesyuarat pada 6 Ogos 2020 mencadangkan untuk menjemput PPBM secara rasmi untuk menyertai MN. Dicadangkan juga kedua-dua Presiden UMNO dan PAS mengutuskan surat rasmi jemputan kepada PPBM.

▪️Pada 13 Ogos 2020, satu surat rasmi Jemputan kepada PPBM untuk menyertai MN diutuskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden PPBM. Surat ini ditanda-tangani oleh kedua-dua Presiden UMNO dan PAS.

▪️Dalam masa yang sama secara senyap-senyap UMNO mendapat perkhabaran bahawa sebuah Jawatankuasa Penaja Parti Perikatan Nasional telah ditubuhkan yang disertai PPBM, PAS, MIC dan STAR.

▪️9 Ogos 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media di Awani menafikan PAS menyertai Parti PN dan mengeluarkan sebarang surat sokongan yang menamakan Datuk Seri Samsuri dan Datuk Seri Takiyuddin sebagai wakil PAS dalam Jawatankuasa Penaja Parti PN.

▪️17 Ogos 2020 diumumkan Pilihanraya Negeri Sabah

▪️19 Ogos 2020 Setiausaha Agong PAS Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan media bahawa “PAS akan sertai Parti Perikatan Nasional”.

▪️27 Ogos 2020, MIC menarik diri daripada Parti Perikatan Nasional untuk kekal sebagai komponen dalam Barisan Nasional. MIC menulis surat kepada pihak ROS mengenai pendiriannya.

▪️18 November 2020 dalam Mesyuarat Jk Induk MN, UMNO menyatakan rasa terkilan namun menghormati keputusan PAS untuk menyertai Parti PN walaupun berkali-kali menafikan dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan dalam kenyataan media. Mesyuarat juga bersetuju untuk terus mencari jalan untuk memperkukuhkan kerjasama UMNO-PAS dalam MN yang dibina atas linangan air mata fo PWTC.

Kesimpulannya:
1. UMNO tidak pernah mengkhianati MN, jauh sekali untuk mengkhianati mana-mana parti.

2. Benar UMNO dan PAS menjemput secara rasmi PPBM untuk menyertai MN, namun setelah PPBM secara senyap-senyap menubuhkan PN dengan menarik PAS bahkan parti komponen BN sendiri MIC untuk menjadi penaja kepada parti PN, maka penyertaan ke dalam MN sudah menjadi akademik dan tidak lagi relevan.

3. Muafakat Nasional adalah gagasan besar yang dijelmakan untuk memenuhi hasrat penyatuan ummah yang melangkaui sempadan politik kepartian, tidak mengikat, jauh sekali hanya sekadar untuk memenuhi citarasa politik mana-mana pihak.

4. Mana-mana permuafakatan yang hendak dibina mesti berteraskan kepada kejujuran, ketelusan dan keikhlasan, barulah mampu kekal bertahan lama.

#FaktaBukanAuta
#PemudaTerasKebangkitan
#BangkitKembali
#MuafakatNasional

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI