Berita

Mesyuarat Perwakilan Bahagian 11, 12 Dan 18 Dis Ini, PAU 2021 Secara Hibrid

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) yang diadakan pada malam 8 Disember 2021, dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Presiden UMNO telah membuat keputusan antara lain:-

1. Menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Tanpa hilang hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, Mesyuarat berharap agar keputusan rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas PRU-14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik. UMNO percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi.

2. Mesyuarat Perwakilan 4 Peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan UMNO Bahagian akan diadakan pada 11, 12 dan 18 Disember 2021 di seluruh negara. Adalah diharapkan agar mesyuarat tersebut berjalan lancar dan SOP COVID-19 yang sewajarnya sentiasa dipatuhi. Lebih 20,000 Persidangan UMNO Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November 2021 dengan jayanya.

3. Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan diadakan di PWTC, Kuala Lumpur pada 13-15 Januari 2022 secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya. Ini disebabkan SOP penjarakkan masih perlu dipatuhi. Keterangan lanjut mengenai PAU 2021 akan dimaklumkan kemudian.

4. MKT UMNO mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua jentera tempatan dan negeri angkat yang telah melaksanakan tugas cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Melaka. MKT juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat dan pengundi Melaka di atas kepercayaan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebanyak 75 peratus atau tiga perempat kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November 2021. MKT berharap agar kepimpinan kerajaan negeri Melaka yang baharu dapat melaksanakan tugas sehabis baik bagi memastikan kemajuan rakyat negeri Melaka.

DATUK SERI AHMAD MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO

9 DISEMBER 2021