Berita

Keputusan Mahkamah Datuk Seri Najib, Anggota Parti Bertenang -Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta ahli-ahli parti di bahagian terbabit untuk bertenang dan bersabar dalam menerima keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lalu terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, keyakinan terhadap sistem perundangan negara dengan Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan amat penting.

“Negara kita ada undang-undang dan kita percaya bahawa kebenaran akan mengatasi kebatilan. Sama-samalah kita berdoa agar kebenaran akan jadi nyata,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian dalam mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya bersama jawatankuasa Bahagian dan Ketua-ketua Cawangan yang diadakan di pejabat UMNO Putrajaya, malam tadi.

Beliau juga memaklumkan keputusan kepimpinan pusat yang menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes Datuk Seri Mohd Najib.

Terdahulu dalam kenyataan media, IBu Pejabat UMNO memaklumkan, tanpa hilang hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, MKT berharap agar keputusan rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas PRU-14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.

“UMNO percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi.”

Sebelum itu, media melaporkan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd. – UMNOPutrajaya