Sentiasa Waspada… Tengku Adnan Minta Ahli UMNO Terus Sepakat Selari Keputusan Pucuk Pimpinan
PUTRAJAYA – Pelbagai isu dan polemik dalam politik masih berterusan berlaku yang melingkari kehidupan masyarakat.
Sehubungan itu, ahli-ahli UMNO digesa supaya sentiasa waspada dengan pelbagai perkara yang berlaku termasuklah isu-isu semasa sama ada yang membabitkan UMNO atau ikatan dengan pihak lain juga.
Bagi Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, beliau mengingatkan bahawa apa-apa keputusan yang diambil perlulah selari dengan pucuk pimpinan parti kerana UMNO adalah organisasi mantap dalam setiap peringkat.
“Sekarang ini ada usaha pihak tertentu yang cuba menggunakan taktik tertentu misalnya melakukan tinjauan atau kajian bagaiman kepimpinan dalam Putrajaya yang ada sekarang ini.
“Ada juga usaha pihak tertentu yang kononnya nak menghidupkan UMNO lama sedangkan UMNO ini tidak pernah berubah dari dulu, kini dan selamanya. Kerana itu saya harap semua pihak berwaspada dan tidak terpengaruh dengan taktik sedemikian,” katanya.
Terdahulu beliau telah mengadakan mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya bersama jawatankuasa Bahagian dan Ketua-ketua Cawangan.
“Ini adalah mesyuarat biasa yang dilaksana agar keputusan dari pucuk pimpinan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini dapat di sampaikan dan difahami dengan jelas oleh setiap lapisan anggota parti,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya