Aktiviti & Komuniti

Jualan Keluarga Malaysia Tawar Harga Lebih Rendah

PUTRAJAYA: Jualan barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran tempatan yang ditawarkan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) memberi pelbagai pilihan kepada pengguna.

Program yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melibatkan Parlimen Putrajaya dengan penganjurannya di Presint 9, di sini, iaitu serentak di 177 Parlimen di seluruh negara.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sehubungan itu, penduduk seharusnya mengambil peluang ke atas inisiatif dan usaha KPDNHEP dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Menurutnya, pelaksanaan PJKM oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah.

“Saya nak uar-uarkan kepada warga Putrajaya supaya datang menyahut apa yang disediakan oleh KPNDHEP. Pelbagai barangan keperluan termasuk barangan basah semua ada.

“Diharapkan dapat ambil peluang ini, janganlah tak ambil peluang. Esok kata KPDNHEP tak pedulilah, harga naiklah sedangkan mereka prihatin,” katanya selepas melakukan tinjauan di Presint 9 di sini hari ini. – utusan.com.my