Berita

Bubar DUN Kerana Perlu Mandat Baharu Demi Masa Depan Rakyat

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diperlukan bagi mendapat mandat baharu daripada rakyat Johor untuk menjadikannya sebuah negeri yang maju dan rancak dengan pembangunan.

Beliau berkata kerajaan yang kuat akan dapat membantu negeri dan rakyat Johor menjadi lebih maju berdasarkan kedudukan strategik dan potensi negeri ini.

“Jadi untuk jadi negeri yang maju dan rancak pembangunannya, untuk itu, saya perlu fresh mandate (mandat baharu) daripada rakyat Johor. Kerajaan yang kuat akan dapat membantu negeri dan rakyat Johor lebih maju berdasarkan (kedudukan) strategik dan potensi negeri Johor.

Perkara (program-program kepentingan rakyat) ini perlu diteruskan tetapi memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan sebagai bergerak atas ‘ehsan pembangkang’ saya fikir tidak wajar sama sekali berlaku di negeri ini,” kata beliau kepada pemberita di Bangunan UMNO Johor di sini hari ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hasni yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata langkah-langkah akan diambil seterusnya oleh Speaker DUN Suhaizan Kaiat untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPR akan membuat keputusan mengenai pilihan raya yang bakal diadakan dalam tempoh 60 hari.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata pertimbangan untuk mengadakan sama ada pilihan raya kecil (PRK) ataupun pilihan raya negeri (PRN) tercetus selepas kematian ADUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian pada 21 Dis tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berhati-hati dalam membuat pertimbangan itu memandangkan Selangor dan Pahang dilanda banjir pada 18 Dis, diikuti dengan Johor pada 31 Dis, tahun lepas.

Justeru, selepas selesainya banjir, penurunan kes COVID-19 dan pembukaan ekonomi, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membawa Johor ke arah lebih maju, katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai apa yang dimaksudkan kerajaan negeri bergerak atas “ihsan pembangkang”, Hasni berkata kenyataan pembangkang sebelum ini yang menawarkan komitmen kestabilan supaya kerajaan negeri tidak membubarkan DUN Johor hanyalah “janji manis”.

Beliau berkata dalam sidang DUN sebelum ini blok pembangkang meminta diadakan rundingan supaya mereka terlibat sama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan bukan hanya sebagai pemerhati.

Hasni berkata beliau berulang kali menerangkan kepada mereka menerusi surat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan November lepas bahawa bahawa berdasarkan arahan No 1 2020 komposisi ahli dalam JTPD perlulah daripada ADUN yang sama parti dengan kerajaan.

“Kita hanya tertakluk kepada arahan nombor satu Jabatan Perdana Menteri mengenai komposisi wakil dalam mesyuarat JTPD, tetapi mereka meneruskan juga rundingan tersebut dan akhirnya berkesudahan dengan 27 sama (undi).

(Bagaimanapun) Speaker DUN (Suhaizan Kaiat) yang bukan dari parti kerajaan mungkin atas ihsan (mengundi) untuk memastikan kerajaan ini berjalan, maka, undi penentu itu diberikan kepada kerajaan,” kata Hasni.
Justeru, itu beliau menjelaskan bahawa itu yang dimaksudkan bila kerajaan negeri bergerak atas ihsan disebabkan satu majoriti yang juga menyebabkan keadaan kerajaan negeri tidak stabil.

“Johor tidak sepatutnya berada dalam keadaan sedemikian kalau (kerajaan negeri mahu) terus ingin merancang melaksanakan program untuk rakyat,” kata beliau.

Kematian Osman tahun lepas menyebabkan kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional tinggal 28 kerusi manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali pula berkata kerajaan negeri perlu mengambil keputusan tepat untuk melaksanakan PRN Johor yang menyaksikan pembubaran DUN pada hari ini.

“Memang dinyatakan (pembangkang) akan beri kerjasama tetapi seperti yang dinyatakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad, kita telah dimaklumkan bahawa pada satu ketika dia (pembangkang) tidak mengundi bersama kita dan bawa usul yang berbeza.

“Jadi perkara (majoriti tipis) itu tidak sewajarnya perlu berlaku sebab untuk kepentingan ramai dan benda itu telah dimaklumkan dan difahamkan lebih awal,” katanya kepada pemberita mengulas mengenai pembangkang yang berulang kali menyatakan pendirian sedia bekerjasama walau majoriti tipis di sini hari ini. – BERNAMA