Aktiviti & Komuniti

Alhamdulillah Perhimpunan Agung UMNO Lancar, Kini Masa Bekerja – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merakamkan rasa syukur kerana Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang melabuhkan tirai pada Sabtu berjalan lancar dan sempurna.

Justeru katanya, selepas ini adalah masa bekerja untuk anggota parti di akar umbi memperkuatkan Sumno.

“Alhamdulillah. Selesai perkumpulan kita sebagai penerus perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Semua kemelut terjawab dan sekarang masa kita bekerja perkuat akar umbi dan teruskan khidmat bakti,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata demikian merujuk kepada ucapan penggulungan bermula daripada Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diikuti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kemudiannya Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada para perwakilan khususnya perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya. – UMNOPutrajaya