Berita

Ketua Penerangan UMNO Putrajaya Utarakan Persoalan Pelaksanaan Had Laju Di Kawasan Terpilih Dalam Parlimen

KUALA LUMPUR – Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sebagaimana disuarakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya berhubung pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research) untuk melaksanakan had laju kenderaan dengan kelajuan 30kmj hingga 50kmj di kawasan-kawasan terpilih.

Hal ini diangkat menjadi keutamaan oleh Datuk Mohd Hisamudin berikutan kes-kes kemalangan dan cadangan agar diwujudkan langkah terbabit sebagaimana mengikuti jejak langkah Bandaraya Paris yang mewartakan had laju tersebut pada Ogos 2021.

Beliau menimbulkan persoalan terbabit kepada Menteri Wilayah Persekutuan ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Persoalan terbabit telah dijawab oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang berkata bahawa cadangan menurunkan had laju kenderaan kepada 30 kilometer sejam (km/j) dan 50 km/j di beberapa kawasan di pusat bandar di sini akan dibentangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan hadapan.

Ujarnya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mencadangkan perkara itu ketika ini masih membuat perincian dan penelitian mengenainya.

“Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui maka ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini. Kawasan yang terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60km/j dan 40km/j.
Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS ini,” katanya.

Jalaluddin berkata DBKL juga berpandangan cadangan pelaksanaan had laju itu adalah baik kerana ia meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki. – UMNOPutrajaya